Followers

SEKTOR PENJAGAAN KESIHATAN BERUBAH SELARI WAWASAN 2020 : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Sektor penjagaan kesihatan negara kini berubah dengan pesat, selari wawasan kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara industri menjelang 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sektor itu memerlukan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, dalam persekitaran yang terus mencabar daripada segi keperluan pengguna, kemunculan risiko baharu, perubahan dalam teknologi perubatan dan aplikasi teknologi maklumat.

"Kejuruteraan hospital merupakan asas penting yang menjadi prasyarat untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan berkualiti, yang dapat mempromosi dan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

"Oleh itu tema 'Memperkasakan Pengurusan Kemudahan dalam Kejuruteraan Penjagaan Kesihatan' lebih relevan dan mencerminkan strategi transfomasi kerajaan dalam meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan secara berterusan," kata Perdana Menteri semasa merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Kejuruteraan Hospital 2013, di ibu negara, Khamis.

Najib berkata antara lain, strategi memperkasa pengurusan kemudahan kejuruteraan penjagaann kesihatan dijangka menambah rangkaian nilai ekonomi sektor penjagaan kesihatan, selain meningkatkan kapasiti pengetahuan, inovasi dan menanam mentaliti kelas petama dalam kejuruteraan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program dalam meningkatkan kemudahan dan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan kejuruteraan hospital.

"Pembangunan hospital awam di Malaysia telah beralih daripada reka bentuk tradisional dan dibina berdasarkan konsep pasang siap, kepada pendekatan usaha sama awam-swasta.

"Ini dapat menyediakan komitmen jangka panjang swasta dalam membangun dan menyelenggara kemudahan penjagaan kesihatan secara usaha sama dengan kerajaan," kata Najib.

Persidangan dua hari yang bermula Rabu itu dianjurkan oleh Persatuan Kejuruteraan Bioperubatan Malaysia dengan usaha sama rakan utama, Advance Pact Sdn Bhd dan Medivest Sdn Bhd, selain Faber Mediserve Sdn Bhd dan Radicare (M) Sdn Bhd, serta disokong oleh Kementerian Kesihatan.

Persidangan itu berlangsung sempena Mesyuarat Majlis dan Majlis Eksekutif Persekutuan Antarabangsa Kejuruteraan Hospital, yang disertai lebih 30 negara anggota majlis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment