KENAIKAN HARGA MINYAK: PERTINGKAT PENGANGKUTAN AWAM

KUALA LUMPUR:  Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik mempertingkat perkhidmatan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan beban pengguna selaras kenaikan harga minyak RON95 dan diesel yang diumum Isnin.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman, bagaimanapun, berkata beberapa mekanisme yang efisien boleh menyeimbang tekanan kepada pengguna kesan kenaikan itu.

"Kita faham langkah kerajaan ini untuk mengurangkan subsidi... ini satu langkah yang perlu... tapi dalam keadaan ekonomi yang lembap, pendapatan yang tidak meningkat... ia sedikit sebanyak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Justeru kerajaan perlu mencari mekanisme tertentu, antaranya memastikan sistem pengangkutan awam yang bersih, selamat, efisien dan menepati waktu sebagai alternatif kepada rakyat," katanya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula tengah malam tadi.

Maamor berkata kerajaan juga mungkin boleh memperkenal rebat pembelian minyak kepada pengguna motosikal serta kenderaan nasional, yang rata-ratanya berpendapatan sederhana dan rendah.

"Contohnya mewujudkan kad pintar untuk warganegara Malaysia yang menggunakan motosikal dan kereta nasional, yang mana mereka boleh dapat rebat apabila mengisi minyak," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan mencari inisiatif bagi mendisiplinkan peniaga yang rakus mencari keuntungan dan menaikkan harga barangan sesuka hati bersandarkan alasan kenaikan harga minyak.

"Bagi pihak majikan pula, mungkin boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar elaun kepada pekerja yang banyak menggunakan kenderaan atas faktor tugasan, dan bagi pengguna pula perlu mengambil langkah mengelak perjalanan yang kurang berfaedah seperti berjalan-jalan untuk melepak," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu berkata hampir 90 peratus rakyat di negara ini menggunakan RON95.

"Sebab itu, kerajaan perlu mencari langkah sesuai dengan meningkatkan sistem pengangkutan awam yang terkini bagi membantu rakyat," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts