JANGAN CURIGA USAHA KERAJAAN PERKASA EKONOMI BUMIPUTERA : NAJIB

SHAH ALAM:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak supaya jangan menaruh sebarang syak wasangka terhadap langkah kerajaan mahu meneruskan usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Tegas beliau, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu bukan satu jalan pintas untuk memajukan orang Melayu dan Bumiputera, bukan juga mengambil hak kaum-kaum lain dan menafikan kepentingan mana-mana pihak.

"Bagi pihak kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini," katanya.

Najib menegaskan demikian dalam ucapannya pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau mengumumkan lima fokus untuk mengukuhkan ekonomi Bumiputera yang merangkumi antaranya usaha-usaha membangunkan modal insan melalui latihan kemahiran dan pendidikan sehinggalah kepada soal pegangan ekuiti dan hartanah.

Semua inisiatif itu akan dipantau strategi pelaksanaannya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Majlis itu menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera.

Menurut Najib, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah adil, betul dan saksama tanpa sebarang niat atau prejudis terhadap kaum-kaum lain.

"Yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru," katanya.

Beliau berharap agar semua nikmat dan kemakmuran daripada usaha-usaha itu akan dapat diraih sertai dirasai oleh semua golongan secara adil dan saksama sebagai rakyat negara ini.

Dalam ucapannya, Najib mengimbau kedudukan ekonomi Bumiputera sejak merdeka sehingga sekarang serta dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas insiden 13 Mei 1969.

Beliau mengingatkan bagaimana orang Melayu dan Bumiputera adalah teras kepada agenda nasional yang "tidak boleh dinafikan oleh sesiapa." Katanya, sebarang langkah bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera adalah tidak adil dan tidak saksama.

Najib juga menyifatkan pelaksanaan DEB dan dasar-dasar seterusnya yang mengekalkan semangat DEB sepanjang empat dekad lalu sebagai fasa transformasi pertama telah berjaya sebagai langkah awal meningkat ekonomi Bumiputera.

Bagaimanapun, jurang ekonomi antara kaum yang hendak dihapuskan itu masih wujud apabila pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.

Nisbah itu menunjukkan bagi setiap RM1 yang diperolehi oleh Bumiputera, kaum Cina mendapat RM1.43.

Dalam soal pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, sasaran pegangan 30 peratus masih tidak dicapai manakala penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan juga masih tidak signifikan.

Selain lima fokus itu, Najib juga mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA berjumlah RM1 bilion bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

Dana itu dibentuk dengan nisbah satu kepada satu antara Majlis Amanah Rakyat dan kerajaan yang akan disalurkan secara berperingkat. - Astro Awani

Comments