ADA UNDANG-UNDANG UNTUK SEKAT ABU CHIN PENG DIBAWA MASUK : KETUA POLIS NEGARA


KOTA BHARU:  Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Malaysia mempunyai undang-undang  khusus  untuk menolak membawa masuk abu atau mayat sesiapa sahaja ke  negara ini.

Khalid berkata anggota keluarga si mati yang mahu membawa masuk abu atau mayat perlu mendapatkan permit khas di bawah  undang-undang Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pengimportan dan Pengeksportan Mayat, Tisu Manusia dan Organisma  Patogenik dan Bahan) 2006.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat  Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sini siang tadi.

Khalid mengulas mengenai laporan portal berita bahawa Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus untuk menghalang abu  atau mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng masuk ke negara ini selepas meninggal dunia di Bangkok,  Thailand, pada 16 September lepas.

Pada mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari sejak Rabu lepas itu, turut diberi penjelasan mengenai cadangan pindaan  undang-undang dalam memperlengkapkan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk menangani masalah jenayah, terutama berkaitan kekerasan.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan individu atau kumpulan tertentu yang cuba menghidupkan kembali fahaman komunis dan cuba  mengancam demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini boleh ditahan di bawah beberapa undang-undang yang  termaktub di dalam perlembagaan.

Beliau berkata, sesiapa yang membawa apa juga penerbitan, bahan-bahan yang boleh ditakrifkan cuba menghidupkan fahaman  komunis adalah menjadi satu kesalahan dibawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan, selain Seksyen 124E Kanun Keseksaan atau siasatan juga boleh  dijalankan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Selain itu buku-buku (yang dicetak untuk sebar fahaman komunisme) pun boleh diambil tindakan di bawah Akta Penerbitan walaupun buku  itu belum lagi diharamkan kerana baharu dikeluarkan. - Astro Awani

Comments

Popular Posts