HAKIM MAHKAMAH RAYUAN TARIK DIRI DARIPADA PENDENGARAN RAYUAN KES LIWAT KEDUA


Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat hari ini menarik diri daripada barisan tiga anggota panel hakim bagi mendengar rayuan pendakwaan ke atas pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan meliwat bekas pembantunya.

Datuk Ramly Ali, yang mempengerusikan panel itu, berkata mahkamah akan melantik hakim lain bagi menggantikan Tengku Maimun.

Panel itu, yang termasuk Datuk Mohd Zawawi Salleh, juga membenarkan bantahan awal Anwar atas alasan beliau mendengar saman fitnah Anwar terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 2007.

"Kami telah membincangkan isu ini. Kami membenarkan bantahan awal. Tengku Maimun, atas kerelaannya, akan menarik diri," kata Ramly.

Beliau menetapkan esok bagi mendengar permohonan pemimpin pembangkang itu untuk peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah hilang kelayakan daripada menjadi pendakwa raya bagi mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan Anwar.

Bagaimanapun, Ramly berkata rayuan pihak pendakwaan yang sepatutnya ke atas pembebasan Anwar tidak akan didengar esok tetapi pada masa akan datang oleh panel yang sama.

Pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa raya oleh Peguam Negara secara  "fiat" bagi mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuannya ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan tahun lalu yang melepas dan membebaskan  Anwar, 64, daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26.

Anwar dituduh melakukan kesalahan itu di unit kondominium Desa Damansara  di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Dalam prosiding hari ini, peguam Anwar, Karpal Singh memohon penarikan diri Tengku Maimun kerana menurutnya dalam penghakimannya dalam saman fitnah itu, menerimapakai dapatan fakta yang dibuat Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat yang pertama di mana Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dituduh meliwat pemandu keluarganya (Anwar) Azizan Abu Bakar.

Dalam kes liwat pertama itu, Mahkamah Persekutuan pada 2 Sept, 2004, dalam keputusan majoriti dua-satu, membebaskan Anwar dan Sukma Darmawan.

Bagaimanapun, terdapat dapatan khusus oleh hakim-hakim dalam penghakiman majoriti yang menyatakan bahawa mahkamah mendapati keterangan bagi mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terbabit dalam kegiatan homoseksual dan bahawa mahkamah lebih cenderung untuk mempercayai bahawa insiden yang dikatakan di  Tivoli Villa itu berlaku.

Karpal berhujah kemungkinan berlaku berat sebelah jika Tengku Maimun bersidang dalam panel itu bagi mendengar rayuan pendakwaan kerana beliau berpegang pandangan Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee berhujah bahawa Tengku Maimun sepatutnya tidak menarik diri daripada bersidang dalam panel itu.

Katanya kes berkenaan berlaku enam tahun lalu dan membabitkan menolak permohonan itu yang menyebabkan prosiding perkara itu tidak melalui perbicaraan penuh.

Katanya beliau tidak membuat dapatan fakta tetapi hanya menerimapakai dapatan fakta Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 Jan tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, dalam membebaskan Anwar, memutuskan berlaku penetrasi zakar tetapi tidak disokong bukti lain.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai kewibawaan sampel diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin telah diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. - BERNAMA

Comments

Popular Posts