PELUANG EKONOMI BARU BAGI BUMIPUTERA UNTUK BERSAING


KUALA LUMPUR:  Pada Sabtu ini bersamaan 14 September 2013, satu lagi dasar baru akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dasar baru itu bakal memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan pemilikan hartanah oleh Bumiputera.

Dasar bagi membantu golongan Bumiputera telah dilaksakan sejak tahun 1970 lagi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Dua strategi utama dalam DEB adalah mengurangkan kemiskinan tegar tanpa mengira bangsa melalui kenaikan taraf pendapatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, serta menyusun semula masyarakat bagi memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi agar mengurangkan dan seterusnya menghapuskan identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi.

Najib bagaimanapun dalam satu sesi temubual dengan Bloomberg pada Oktober 2008 telah berpendapat bahawa perlu ada penghapusan secara berperingkat ke atas dasar tersebut.

Beliau ketika itu mencadangkan agar proses liberalisasi ke atas dasar DEB akan dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga golongan Bumiputera berasa yakin untuk bersaing secara tempatan dan global.

Menurutnya lagi keperluan serta masalah setiap kaum di Malaysia perlu ditangani dengan serius.

Menyentuh tentang dasar baru yang diumumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata ia adalah bagi membantu golongan Bumiputera mendapat peluang yang saksama dalam ekonomi negara supaya penglibatan mereka lebih tinggi dan dapat meningkatkan pemilikan hartanah dan sebagainya.

Katanya meskipun telah ada peningkatan dari segi pemilikan hartanah dan ekuiti, namun ia perlu ditingkatkan lagi kerana ia masih rendah.

Jelas Abdul Wahid, inisiatif terbaru itu secara amnya memperkasakan ekonomi melayu dan bumiputera yang turut merangkumi penyertaan mereka dalam peringkat pengurusan di sektor swasta. - Astro Awani

Comments

Popular Posts