NAJIB MAHU JADIKAN AMALAN RASUAH PERKARA LALU, HUKAN MASA DEPAN MALAYSIA


SAN FRANCISCO:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau ingin menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia, bukan suatu amalan pada masa akan datang.
Berucap pada Syarahan Kelab Komanwel di sini Isnin, Najib berkata langkah itu bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan.

"Saya sudah mewujudkan peranan menteri tadbir urus dan integriti dalam Kabinet yang disandang bekas presiden Tranparency International cawangan Malaysia," katanya.

Najib berkata kerajaan pimpinan beliau menaikkan kedudukan agensi pencegahan rasuah Malaysia - yang setiap tahun perlu menghadap jawatankuasa khas parlimen mengenai rasuah, sebuah lembaga penasihat bebas dan sebuah jawatankuasa aduan - ke taraf sebuah suruhanjaya bebas pengaturan kendiri.

"Kami berharap suruhanjaya ini boleh menjadi contoh untuk negara lain yang sedang berusaha untuk membina keupayaan institusi bagi memerangi rasuah," katanya.

Sesungguhnya, kata beliau, mata wang paling penting bagi pentadbiran dan perniagaan ialah kepercayaan.
"Jika kita dapat menunaikan janji kita kepada rakyat - dalam hal ini, kesungguhan untuk memerangi rasuah - dan melaksanakannya dari masa ke semasa, maka nilai mata wang itu akan dipandang tinggi.

"Ganjarannya bukan sekadar mempunyai persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan telus, dengan pasaran yang lebih bertenaga dan peluang yang lebih meluas, tetapi juga memperoleh kepercayaan baharu tentang kemampuan kerajaan mengubah keadaan menjadi kepada yang lebih baik," katanya.

Najib berkata banyak ekonomi yang terjejas oleh rasuah dan menyebabkan usaha gigih seseorang individu menjadi punah-ranah dan merosakkan kesepaduan sosial.

Katanya rasuah bukan sahaja boleh meranapkan peluang meritokrasi, tetapi juga melenyapkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kuasa sesebuah negara dan oleh itu, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila ia sering disebut sebagai faktor di sebalik munculnya 'Arab Spring'.

Terdahulu, Najib berkata jurang antara penduduk bandar dan luar bandar kini semakin lebar.

Katanya akibat disekat daripada menikmati peluang ekonomi, terlalu ramai rakyat Asia tidak mempunyai capaian terhadap prasarana asas untuk kehidupan - sanitasi, penjagaan kesihatan dan perumahan.

"Sekiranya kita tidak memberi peluang kepada semua rakyat kita untuk memainkan peranan berhubung masa depan rantau itu, kita menghadapi risiko menggalakkan tercetusnya ketegangan etnik, pelampau agama dan ketidakstabilan politik.

"Ini seterusnya akan menyekat tercapainya objektif kita : sebuah Asia yang lebih makmur dan harmoni.

"Oleh itu, kita perlu pastikan pembangunan melahirkan peluang ekonomi untuk semua, bukan memberi kekayaan hanya untuk segelintir manusia; yang bukan sekadar meningkatkan angka nominal KDNK, tetapi juga infrastruktur sosial yang amat penting.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia kini menjadi medan strategik bagi pasaran kewangan Islam global.

Bagi pelabur yang menerima akibat daripada krisis kewangan di pasaran Barat, bon Islam menawarkan model pertumbuhan alternatif untuk mereka, katanya.

Beliau berkata tiada pelaburan yang tidak mempunyai risiko dan pasaran yang boleh dikatakan masih muda ini juga sudah tentu kadangkala turut mengalami masalah dalam pertumbuhannya.

"Tetapi, berdasarkan sifat semula jadinya, kewangan Islam tidak terdedah kepada pembaziran yang telah merosakkan ekonomi dunia kerana ia tidak membenarkan spekulasi dan melarang faedah, manakala pulangan hanya dikira berdasarkan perkongsian keuntungan," katanya.

Oleh itu, tegas beliau, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila sukuk muncul sebagai instrumen kewangan yang paling pesat berkembang di dunia.

Beliau berkata 10 tahun lepas, Malaysia menerbitkan sukuk kedaulatan atau bon pematuhan syariah pertama di dunia dan kini ia menguasai hampir tiga suku daripada keseluruhan pasaran global serta meningkatkan penyertaan orang ramai melalui penerbitan bon runcit.

"Ini adalah antara cara untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi, mengukuhkan ekonomi kami secara menyeluruh dan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk turut mengecapi hasil daripada kejayaan negara kami," kata Najib. - BERNAMA

Comments

Popular Posts