APA KATA ARTIS - SELEPAS 50 5AHUN MALAYSIA DIBENTUK, KITA MASIH ALAMI KRISIS IDENTITI : KHALED SALLEH

KUALA LUMPUR:  "Selepas 50 tahun, kita masih mengalami krisis identiti," kata aktivis teater, Khaled Salleh ketika ditanya makna Hari Malaysia.

Pelakon yang memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 menerusi filem Jogho itu berkata, sepatutnya perkara itu tidak lagi berlaku selepas 50 tahun Malaysia dibentuk.

Katanya, tidak ada rasa empunya atau perasaan cinta terhadap negara dan bahasa menyebabkan selepas 50 tahun pembentukan Malaysia, krisis identiti masih dialami oleh rakyat negara ini.

Beliau nyata kecewa dengan apa yang berlaku kerana baginya, selepas 50 tahun dibentuk, Malaysia sepatutnya sudah mempunyai jatidirinya sendiri, baik rakyat atau pemerintah.

Mengambil contoh dari segi bahasa, Khaled menegaskan rakyat Malaysia seolah-olah lupa bahawa mendaulatkan bahasa Melayu sebenarnya terkandung dalam perlembagaan Malaysia.

"Sebagai rakyat, sepatutnya apa yang terkandung dalam perlembagaan negara itu perlu kita sama-sama pastikan supaya didaulatkan.

"Tetapi apa yang berlaku, saya dapat tahu ada kalangan korporat Melayu kalau bincang atau mesyuarat sesama mereka pun bercakap bahasa Inggeris.

"Ini penyakit sebenarnya, penyakit rasa tidak intelek kalau tidak bercakap bahasa Inggeris. Bukan salah belajar bahasa atau menguasai bahasa Inggeris, belajarlah banyak mana bahasa pun, bagus tetapi bahasa sendiri perlu kita daulatkan," katanya kepada Astro Awani ketika ditemubual sempena Hari Malaysia.

Mengulas lanjut, penulis buku Melayu Hilang Di Dunia ini menjelaskan, dari segi budaya juga, setelah 50 tahun dibentuk, masih terlalu banyak perlu disuntik kesedaran kepada rakyat negara ini untuk memahami budaya dan mengamalkan budaya yang dihormati.

"Kalau kita tengok, rakyat Jepun, kalau makan ais-krim, selagi tak jumpa tong sampah, plastik bungkus ais-krim itu mereka tidak buang merata-rata.

"Begitu juga kalau naik eskalator, kalau tidak tergesa-gesa, tanpa perlu kita maklum, mereka sudah faham, mereka akan berada di sebelah kiri kerana di sebelah kanan, mereka yang nak cepat akan guna.

"Itu semua kerana ada kesedaran, bukan kerana hambatan undang-undang, seperti di negara jiran kita yang kononnya rakyatnya jaga kebersihan tapi kalau datang sini (Malaysia), kita selalu dengar orang kata mereka ini buang sampah dari dalam kereta," katanya lagi.

Setelah 50 tahun Malaysia dibentuk, Khaled berkata sepatutnya rakyat ada rasa kasih atau rasa bertanggungjawab terhadap negara.

Selain rakyat, pihak berwajib juga perlu mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap negara kerana ia juga boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati.

Katanya, pemerintah sepatutnya mempupuk kesedaran kepada rakyat supaya mereka mempunyai rasa kasih kepada negara dan mempunyai budaya dan identiti sendiri.

"Pemerintah bertanggungjawab terhadap rasa kasih rakyat kepada negara dan pemerintah juga perlu bertanggungjawab agar negara ini da rakyatnya mempunyai jati diri yang kuat," katanya lagi.

Khaled berpendapat, setiap mereka yang bergelar rakyat Malaysia perlu memahami sejarah bangsanya, sejarah negara dan juga sejarah perlembagaan negara.

Kerana dengan memahami sejarah, rakyat Malaysia tidak kira yang memegang kuasa atau rakyat biasa akan mempunyai jati diri dan tidak lagi tercari-cari apa bentuk jati diri dan budaya mereka. - Astro Awani

Comments

Popular Posts