RETAK TUNGGU HANCUR : ADUN LUYANG KELUAT DAP, JADI WAKIL RAKYAT BEBAS


KUALA LUMPUR:  Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Luyang daripada DAP, Hiew King Cheu, mengumumkan keluar parti itu dan berkata beliau akan menjadi wakil rakyat bebas.

Hiew, yang meletak jawatan sebagai penasihat kepada jawatankuasa perhubungan negeri DAP beberapa minggu lepas, berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti lain.

"Ya, saya membuat keputusan untuk keluar parti. Bagaimanapun, saya akan kekal sebagai (Adun) Bebas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hiew berkata beliau akan menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibu pejabat parti lewat hari ini.

Selepas pilihan raya umum Mei tahun ini, Hiew bertelagah dengan beberapa pemimpin DAP Sabah susulan keputusannya untuk menyokong Adun Klias Datuk Lajim Ukin sebagai Ketua Pembangkang Sabah sedangkan parti itu menyokong Adun Tamparuli Datuk Wilfred Bumburing.

Ini membawa kepada kritikan terbuka rakan-rakannya dalam jawatankuasa perhubungan negeri sehinggakan mereka mahu tindakan disiplin dikenakan terhadap beliau.

Bagaimanapun sebelum tindakan sedemikian diambil, Hiew melepaskan jawatan sebagai penasihat kepada DAP Sabah.

Sejak itu, terdapat spekulasi bahawa Hiew mungkin keluar daripada parti itu yang memenangi empat kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum lepas.

Spekulasi mengenai Hiew keluar parti semakin memuncak selepas pengumumannya minggu lepas bahawa beliau menarik diri daripada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan tidak  akan menghadiri kongres khas DAP yang dijadual Ahad ini.

Sementara itu, Setiausaha Pengelola DAP kebangsaan Anthony Loke, ketika dihubungi berkata parti itu tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Hiew dan hanya mendapat tahu  mengenainya daripada laporan media. - BERNAMA

Comments

Popular Posts