#TANDA PUTERA - WAJAR JADI BAHAN KAJIAN ILMIAH DI IPT : RAZALI IBRAHIM


KUALA LUMPUR:  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim mencadangkan filem "Tanda Putera" dijadikan bahan kajian ilmiah oleh pelajar dan ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata filem itu boleh dikaji dari sudut latar, karya dan jalan ceritanya bagi memberi kefahaman lebih jelas bagaimana pemimpin politik terdahulu menyelesaikan masalah perpaduan dan berusaha membangunkan negara.

"Elok ia dijadikan bahan kajian terutama oleh pelajar IPT supaya mereka boleh menilai dan mengkritik dari sudut perspektif serta maksud sebenar cerita itu," katanya kepada pemberita media ketika ditemui selepas menonton filem itu di pawagam Golden Screen Cinema, Midvalley di sini, pada Ahad.
Razali yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno menonton filem itu bersama keluarganya serta 50 pelajar IPT dan anggota beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Cina dan India.
Razali yang juga Pengerusi Biro IPT Pemuda UMNO berkata beliau akan meminta biro itu mengkaji kandungan filem berkenaan, yang diterbitkan oleh Pesona Pictures dan Finas.


Beliau berkata filem arahan Datin Paduka Suhaimi Baba itu juga wajar dijadikan pengajaran buat generasi masa kini khususnya dalam memahami peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di negara ini.

"Saya lihat, jalan cerita filem ini tidak seharusnya dipertikaikan walaupun ada babak tertentu yang sedikit menyentuh perasaan...filem tersebut adalah berdasarkan sejarah, tetapi yang penting pengajarannya (daripada sejarah itu)," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan cuba menghalang penayangan "Tanda Putera" di negeri itu sebelum ini, beliau berkata ia tidak wajar berlaku.

Mengulas isu sama, Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Harridz Mohan yang turut menonton filem itu berkata kandungan sejarah yang dipaparkan dalam setiap babak wajar dijadikan iktibar dan tidak seharusnya dipolitikkan.

Tayangan filem 'Tanda Putera' yang dibintangi Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim tertangguh hampir dua tahun berikutan kontroversi mengatakan ia berunsur negatif dan fitnah. - BERNAMA

Comments

Popular Posts