PENTING MENDUKUNG UNDANG-UNDANG MELINDUNGI HAK ASASI WARGANEGARA : NAJIB
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penting untuk Malaysia mendukung undang-undang yang melindungi hak asasi warganegara dan mengambil perhatian realiti semasa tatkala menggubal undang-undang baharu.
"Dan, adalah amat penting bagi kerajaan untuk bertindak tegas terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keharmonian negara kita, yang nenek moyang kita bangunkan dengan susah payah bertahun-tahun lamanya," kata Perdana Menteri pada Persidangan Tahunan Middle Temple 2013 di sini Khamis.
Beliau berkata kerajaan, misalnya, memberi penekanan dalam melindungi alam sekitar dengan menggubal Akta Kualiti Alam Sekitar untuk memastikan projek-projek sensitif alam sekitar memperoleh kelulusan kerajaan yang sewajarnya.
Najib berkata juga penting untuk mempunyai sistem undang-undang negara yang selari dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
"Sebab itu kenapa, Malaysia telah mengambil langkah-langkah penting untuk mewujudkan sistem undang-undang moden yang mempermudahkan pertumbuhan ekonomi dan melindungi kepentingan dan keperluan rakyat," katanya.
Najib juga berkata kerajaan telah meliberalisasikan industri undang-undang dengan meminda Akta Profesion Undang-undang yang membenarkan peguam asing berlesen menjadi pengamal di Malaysia.
Pembukaan pasaran undang-undang negara adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Malaysia, dan "Malaysia kini ialah sebuah negara eksport modal, terlibat dalam banyak usahasama rentas sempadan yang memerlukan kepakaran, bukan sahaja peguam-peguam Malaysia tetapi juga peguam-peguam asing dengan bidang kepakaran spesifik," katanya.
Najib turut melahirkan rasa gembira dengan langkah Middle Temple memilih Kuala Lumpur sebagai venue untuk mengadakan persidangan itu, menandakan hubungan erat antara Inns of Court dan Malaysia.
Katanya banyak hakim, peguam bela, peguam cara dan malahan ahli politik merupakan lulusan Inns of Court.
"Almarhum ayahanda saya, Tun Abdul Razak, juga merupakan lulusan undang-undang dan anggota Honourable Society of Lincoln's Inn," kata Perdana Menteri.
Persidangan dua hari itu dianjurkan alumni Middle Temple yang menghimpunkan pengamal undang-undang tempatan dan asing termasuk hakim dan anggota Majlis Peguam Malaysia. - BERNAMA
Comments
Post a Comment