ANIFAH SAHKAN ZAHRAIN DINAMAKAN DUTA BESAR MALAYSIA KE INDONESIA

KUALA LUMPUR:  Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan bahawa bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah dinamakan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
"Kami telah memutuskan untuk melantik beliau sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia dan kini dalam proses memaklumkan kepada kerajaan Indonesia.

"Bagaimanapun, tarikh memulakan tugas rasmi belum dimuktamadkan kerana menunggu kelulusan daripada kerajaan Indonesia," katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Luar di sini hari ini.

Ditanya kriteria pemilihan Zahrain, Anifah berkata: "Kami tidak pernah melihat latar belakang beliau...latar belakang politik dan fahaman politik. Bagi Wisma Putra, kami cuba meletakkan orang yang terbaik yang ada untuk jawatan (duta) di mana-mana negara tertentu.

Beliau berkata sesiapa yang telah dipilih untuk menjadi Duta Malaysia harus menyokong hasrat dan matlamat kerajaan dan ia akan menjadi antara kriteria yang akan dipertimbangkan.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada Wisma Putra telah mengirim surat rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pendirian Malaysia mengenai campur tangan ketenteraan di Syria, katanya ia akan diteruskan sekiranya wajar.

Menurutnya pendirian Malaysia mengenai Syria tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Washington kerana ia adalah isu yang berbeza sama sekali.

"Lebih banyak rundingan dan dialog diperlukan untuk menyelesaikan konflik di Syria dan bukan campur tangan ketenteraan," katanya.

Anifah berkata Malaysia tidak sabar untuk melihat kedatangan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada Oktober ini untuk menyampaikan ucaptama pada forum keusahawanan antarabangsa di sini. - BERNAMA

Comments

Popular Posts