PENGELUAR, PENGILANG TEPUNG DAN GULA BERI JAMINAN TIDAK AKAN NAIK HARGA : HASSAN

KUALA LUMPUR:  Pengeluar dan pengilang tepung dan gula memberi jaminan kepada kerajaan tidak akan menaikkan harga bahan makanan itu berikutan pengurangan subsidi petrol baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata pengeluar dan pengilang turut berjanji bahawa bekalan tepung dan gula mencukupi bagi menampung keperluan orang ramai.

Keputusan itu dibuat pada rundingan antara kedua-dua pihak dengan pihak kementerian minggu lepas, katanya kepada pemberita selepas melawat pasar raya besar Tesco Extra Bandar Bukit Puchong, Puchong di sini Jumaat.

"Jadi, saya nasihatkan supaya orang ramai jangan dengar khabar angin di blog atau laman sosial bahawa harga tepung dan gula akan naik," katanya.

Beliau berkata langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengurangkan subsidi bahan bakar yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 3 Sept lepas bermatlamat untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Mengenai pasaraya Tesco, Hasan berkata langkah pasar raya itu menurunkan harga beberapa produk makanannya bagi mengurangkan beban pengguna patut dicontohi dan diikuti oleh pasar raya yang lain.

Tesco menurunkan harga 18 produk makanan segar termasuk daging import, ayam, timun, nanas dan pisang dengan diskaun sebanyak 37 peratus bermula hari ini hingga 1 Dis di 47 pasar raya besarnya di seluruh negara. - BERNAMA

Comments

Popular Posts