MALAYSIA TIDAK KENAKAN KAWALAN MODAL : NAJIB

KUALA LUMPUR:  Malaysia tidak akan mengenakan kawalan modal buat masa ini, dan akan menggunakan instrumen kewangan lain yang sedia ada bagi menangani sebarang turun naik dalam ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan melaksanakan kawalan modal, sebagai langkah terakhir.

Ekonomi Malaysia terus berdaya tahan berbanding negara lain di rantau ini berikutan kedudukan rizabnya yang kukuh, selain tabungan tinggi dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, katanya pada rakaman Sidang Kemuncak CNBC, yang akan disiarkan menerusi rangkaian perniagaan itu pada 5 petang esok.

Rakaman 30 minit itu dihoskan oleh peneraju terkemuka CNBC Martin Soong.

"Kemungkinan untuk melalui krisis adalah minimum. Walaupun wang kita mengalir keluar, rizab kita masih mencukupi berbanding apa yang kita miliki semasa krisis kewangan pada 1997," kata Perdana Menteri.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata rizab semasa negara sebanyak US$130 bilion berbanding kurang daripada US$30 bilion pada 1997.

Malaysia mengenakan kawalan modal pada September 1998 semasa krisis mata wang serantau dalam usaha menyekat serangan spekulatif ke atas ringgit oleh pengurus lindung nilai yang tidak berprinsip, selain bagi menstabilkan ekonomi.

Kawalan modal termasuk menambat ringgit pada 3.80 kepada dolar, ditarik balik pada Julai 2005.

Sebelum berlaku krisis pada Julai 1997, ringgit didagangkan pada RM2.42 berbanding dolar US, namun selepas itu, mata wang tempatan itu susut selepas mata wang serantau yang bermula Baht Thai dan Rupiah Indonesia, diserang oleh spekulator.

Najib berkata: "Kebanyakan hutang negara kini di peringkat domestik, terutama untuk jangka panjang. Kita berada pada kedudukan yang kukuh, dan kemungkinan untuk menghadapi krisis adalah sangat minimum."

Ditanya oleh Soong sama ada Malaysia akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berikutan kemungkinan negara yang memeterainya perlu menghapuskan hak negara ke atas dasar mata wang bebas serta melaksanakan dan mengenakan kawalan modal apabila perlu, kecuali ada perundingan antara negara anggota, Najib berkata:

"Kami mahukan TPP, namun ia perlu memihak kepada terma-terma kerajaan, dan ini masih dibincangkan."

Beliau berkata ada terma yang melepasi pertimbangan perdagangan dan pelaburan yang mempersoalkan hak kedaulatan dan perusahaan milik negara.

"Oleh itu, kami akan melalui rundingan yang sangat sukar, namun pada asasnya mereka mendengar."

"Pokoknya kami tidak akan melepaskan kepentingan negara untuk TPP, namun kami mahukan TPP, kami menganggapnya baik, dengan syarat termanya munasabah," kata Najib. - BERNAMA

Comments

Popular Posts