MALAYSIA JADI CALON AHLI TIDAK TETAP MAJLIS KESELAMATAN PBB

KUALA LUMPUR:  Malaysia berhasrat untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dalam usahasama mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia.

Tema kempen pencalonan Malaysia ialah Keamanan dan Keselamatan Melalui Kesederhanaan (Peace and Security Through Moderation), menurut satu kenyataan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah berkata, sekiranya Malaysia terpilih untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis tersebut, Negara ini ingin berusaha mencari penyelesaian yang aman dan berterusan bagi konflik-konflik antarabangsa, di samping mendukung prinsip kesederhanaan.

Katanya, lima keutamaan Malaysia sekiranya dipilih ialah:

mengetengahkan agenda Gerakan Kesederhanaan Global (GMM - Global Movement of Moderates)
memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan untuk memberi momentum baru kepada rundingan sedia ada seperti Rundingan Antara Kerajaan (Intergovernmental Negotiation) untuk segera mencapai penyelesaian secara sepakat.

menggalakkan pendekatan pengantaraan serta berkongsi pengalaman dan kepakaran sebagai pengantara dalam usaha mencari penyelesaian yang aman dan berterusan terhadap konflik-konflik serantau dan antarabangsa.

mengukuhkan lagi operasi dan pelaksanaan misi pengaman di serata dunia. Malaysia turut juga dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran sepanjang penglibatannya di misi pengaman PBB sejak tahun 1960.
terus berusaha untuk menyokong usaha damai dan pembangunan negara yang baru pulih dari konflik.

Anifah berkata Malaysia mempunyai pengalaman sebelum ini dalam penglibatan dalam isu pengantaraan seperti peranan sebagai pemudahcara dalam usaha penyelesaian damai di Selatan Thailand dan juga di Selatan Filipina.


Pada 15 Jun 2001, Malaysia telah mengemukakan pencalonan untuk menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016.

Pengundian secara rahsia ahli-ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016 dijadual akan diadakan pada bulan Oktober 2014 semasa Sesi ke-69 Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat.

Malaysia perlu memastikan ia meraih sekurang-kurangnya dua pertiga undian daripada negara-negara anggota PBB yang hadir dan mengundi semasa pemilihan untuk memenangi kerusi tidak tetap tersebut.

Malaysia pernah menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga (3) kali iaitu pada tahun 1965 (berkongsi kerusi dengan Czechoslovakia), tahun 1989-1990 dan tahun 1999-2000. - Astro Awani

Comments

Popular Posts