WAJARKAH TANDA PUTERA JADI TONTONAN WAJIB RAKYAT

Oleh : Noor Azam Shairi
APA yang terdetik dalam hati banyak orang dan juga dibimbangi oleh sesetengah pihak sejak riuh-rendah kontroversi filem Tanda Putera akhirnya jadi kenyataan — muncul suara-suara yang menggesa agar filem itu digunakan untuk mengajar sejarah kepada generasi hari ini.

Gesaan itu dibuat oleh pertubuhan haluan kanan Perkasa yang sejak penubuhannya selepas pilihan raya umum 2008 telah berjaya menempatkan diri sebagai wakil suara hati dan nurani orang Melayu dan nampak lebih lantang mengatasi UMNO sendiri.

"Soal bagaimana ia nak ditayangkan, kita sudah pun beri pandangan sebelum ini supaya filem ini ditayangkan di sekolah, ditayangkan di tempat awam dan ditayangkan kepada semua Ahli Parlimen dan wakil rakyat.

"Kita minta itu, malahan kita minta ia ditayangkan secara berturutan di televisyen," kata Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin seperti dipetik dalam laporan The Malaysian Insider pada Khamis.

Zulkifli menegaskan bahawa secara prinsipnya Tanda Putera wajib ditonton oleh rakyat untuk mengetahui tentang "sejarah sebenar" di sebalik rusuhan kaum 13 Mei 1969. 

Sebelum ada yang melatah melihat gesaan itu sebagai satu idea yang baik dan kemudian mahu mencadangkannya sebagai Tayangan Filem 1Malaysia, marilah kita duduk merenung beberapa perkara terlebih dulu.

Moga-moga ada manfaatnya supaya kita tidak sesat jalan.

Moga-moga kita dilindungi oleh Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Pertama, Tanda Putera bukan tentang 13 Mei. Ia sebuah cerita yang mengambil latar masa yang bertolak daripada peristiwa berdarah itu. Ia sebuah cerita mengenai Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, dua sahabat yang tercampak ke dalam masalah negara tetapi pada masa sama berdepan dengan masalah peribadi. Itu saja.

Kedua, tentang realiti sejarah dan filem sejarah. Walaupun ada pandangan bahawa filem sejarah harus diterima sebagai satu pendekatan baru untuk meneliti sejarah — dan pembikin filem sejarah darjatnya sama seperti pengkaji sejarah — hakikatnya filem sejarah dan buku kajian sejarah tidak serupa.

Apa yang ditunjukkan di layar perak adalah sejarah seperti mana yang ditanggapi oleh sang pengarah. Ia bukan sejarah sebagaimana yang berlaku. Watak-wataknya juga ditampilkan seperti mana yang dibayangkan oleh pelakon. Itu bukan sejarah. Itu sebaliknya adalah sejarah yang dikhayalkan oleh mereka yang terlibat dalam pembikinan filem itu.

Misalkan saja begini: Adakah kita mahu memberitahu generasi hari ini dan akan datang bahawa begitulah rupanya tampang dan gerak serta geri Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail? Selain dua tokoh besar itu, apakah Tanda Putera telah memberikan gambaran yang tepat tentang tokoh-tokoh lain dalam sejarah?

Selebihnya, apakah Tanda Putera memberikan gambaran yang tepat tentang peristiwa? Apakah itu sejarah sebagaimana yang berlaku atau ia hanya "sejarah" yang ditanggapi oleh pengarahnya?
Itu sebabnya sebelum ini saya sebutkan bahawa kalau mahu menonton filem, pergilah ke pawagam; kalau mahu memahami sejarah, bacalah buku sejarah.

Kenyataan itu bertolak daripada keyakinan saya bahawa tidak ada mana-mana filem sejarah — bukan hanya Tanda Putera saja tetapi semua filem sejarah — yang harus ditayang secara paksa kepada rakyat. Apatah lagi untuk ditayangkan dengan tujuan "belajar sejarah". Kalau mahu belajar, kita masuk sekolah.

Saya sedar bahawa filem sejarah boleh jadi sebab untuk orang minat kepada sejarah dan kemudiannya berusaha untuk mempelajari sejarah itu sendiri. Tetapi adalah satu dosa kepada bangsa, tanah air dan masa depan kedua-duanya jika negara memaksa rakyat untuk menerima "inilah sejarah".

Hal itu pernah berlaku hampir 30 tahun dulu di Indonesia — dan itu perkara kedua untuk kita renungkan bersama. Antara Oktober 1965 membawa kepada bulan-bulan awal 1966, dianggarkan antara 200,000 hingga 3 juta rakyat republik itu dibunuh atau hilang kerana mereka jadi anggota Parti Komunis Indonesia yang kemudian diharamkan. Mereka yang hanya diragui atau dituding jari sebagai simpati kepada komunis pun ikut sama terkorban dan hilang. Jenayah kemanusiaan yang didokong oleh tentera dan kerajaan itu kemudiannya cuba dihalalkan menggunakan filem.

Beberapa buah filem propaganda dihasilkan untuk mengukuhkan kedudukan Suharto sebagai presiden dan rejim Orde Baru. Yang teratas di antara filem-filem itu ialah Pengkhianatan G30S/PKI yang diulang tayang di televisyen setiap tiba 30 September sebagai mengenang pembunuhan tujuh jeneral kanan tentera yang dikatakan didalangi oleh komunis. Filem yang memakan waktu tayang empat setengah jam itu juga jadi tontonan wajib pelajar. Tonton paksa itu berlaku selama 13 tahun.
Hanya apabila Suharto meletakkan jawatan pada Mei 1998 dan digantikan oleh BJ Habibie barulah tayangan wajib itu dihentikan. Selama 13 tahun, filem itu jadi "buku sejarah" kepada generasi pasca 1965 untuk "memahami" masa silam — biarpun sebetulnya mereka dipaksa untuk faham zaman penuh gelora itu.

Sebagai filem propaganda, Pengkhianatan G30S/PKI dibuat untuk meyakinkan siapa saja yang menontonnya mengenai sudut pandang tertentu — dan hanya sudut pandangan tertentu itu saja — mengenai peristiwa berdarah pembunuhan tujuh jeneral kanan itu.

Tetapi 15 tahun selepas Reformasi dan 15 tahun selepas Indonesia mula menempuh demokrasi, muncul banyak filem lain yang menyelongkar sisi lain sejarah yang sama. Seorang peneliti sejarah dan budaya malah menyifatkan filem-filem mengenai pembantaian 1965 yang dihasilkan selepas pemerintahan Suharto "berjasa membongkar kejahatan terhadap kemanusiaan dan luka bangsa yang selama ini ditabukan oleh negara". Dokumentari Act of Killing misalnya membuka mata dunia dan orang kembali bertanya: apakah sebenarnya yang berlaku?

Propaganda mengenai 1965 tidak lagi berhasil kerana masih ada orang yang berfikir — dan berfikir secara kritis dengan tajam akal. Propaganda sebaliknya akan menyebar apabila daya fikir manusia dibungkam atau dipandu untuk tidak jadi kritis. Beberapa tinjauan pendapat yang dibuat oleh media di Indonesia mendapati jawapan yang hampir sama iaitu rakyat republik itu belajar mengenai sejarah tragedi 1965 daripada filem Pengkhianatan G30S/PKI. Dalam satu kaji selidik, 9 daripada 10 yang ditemubual mengaku belajar mengenai komunis dan peristiwa 1965 melalui filem itu.

Apa yang dipaparkan oleh filem itu — baik yang ditunjukkan dengan berlebih-lebihan atau hal-hal yang sengaja dipadamkan — diproses oleh rakyat yang dipaksa menontonnya sebagai "sejarah" atau "kebenaran". Tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah proses pembodohan.

Moga kemungkinan itu dijauhkan daripada kita oleh Tuhan.
Moga Tuhan melindungi kita dan sentiasa menempatkan kita dalam sejahtera.
Moga doa kita diperkenankan. - Astro Awani

Comments

Popular Posts