PM DIJANGKA UMUM DASAR TINGKAT PENGLIBATAN BUMIPUTERA DALAM EKONOMI

PUTRAJAYA:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan dasar-dasar bagi meningkatkan lagi penglibatan Bumiputera dalam ekonomi negara pada Sabtu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata antara perkara yang bakal disentuh oleh Perdana Menteri ialah pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan pemilikan hartanah oleh Bumiputera.

Beliau berkata kerajaan telah mengumpul maklumat yang diperoleh daripada agensi-agensi dan badan bukan kerajaan mengenai cara atau langkah yang perlu diambil untuk memperkasakan lagi penglibatan ekonomi Bumiputera dalam ekonomi negara.

"Maklum balas ini telah kita rumuskan dan telah dibentangkan kepada Perdana Menteri di mana beliau sendiri akan mengumumkan langkah-langkah yang bakal diambil dalam satu majlis yang akan diadakan Sabtu ini.

"Dasar ini juga mengambil kira apa yang kita bincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera baru-baru ini," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata sehingga 2011, kadar kemiskinan menurun kepada 2.2 peratus berbanding 64.8 peratus pada 1970an.

"Dari segi pemilikan ekuiti pula, ia telah meningkat kepada 23.5 peratus dari segi nilai tara pada tahun 2011, berbanding hanya 2.4 peratus sebelumnya, " kata beliau.

Namun dari segi pemilikan hartanah, hanya lima peratus dimiliki oleh kaum Bumiputera.

"Walaupun ada peningkatan, ia masih rendah dan perlunya kita tingkatkan usaha untuk tingkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor ekuiti dan hartanah," kata beliau.

Abdul Wahid berkata kerajaan menyasarkan pada 2020, pemilikan ekuiti oleh Bumiputera akan mencapai 30 peratus, selari dengan Wawasan 2020.

Dari konteks modal insan pula, melalui Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan, penglibatan Bumiputera dalam sektor profesional menunjukkan peningkatan terutamanya dalam sektor perundangan dan doktor perubatan.

"Walaupun ada banyak perkembangan, masih ada bidang di mana kita dapati bahawa penglibatan Bumiputera boleh dipertingkatkan lagi," kata beliau.

Abdul Wahid berkata kerajaan turut mengalakkan sektor swasta untuk mengamal konsep keterangkuman kerana kerajaan mendapati penglibatan Bumiputera dalam peringkat pengurusan di syarikat-syarikat swasta masih kurang.

Abdul Wahid berkata berdasarkan Dasar Transformasi Negara dan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan, kerajaan menyasar menjadikan Malaysia negara maju yang berpendapatan tinggi secara menyeluruh dan mampan.

"Kita mahu pastikan tidak ada golongan yang dipinggirkan dalam pembangunan negara," kata beliau.

Abdul Wahid berkata golongan Bumiputera membentuk 67 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia.

"Kita mahu kaum Bumiputera diberi peluang yang saksama dalam meningkatkan modal insan, penglibatan dalam sektor swasta dan peluang-peluang perniagaan.

"Ini antara langkah yang bakal kita ambil untuk membantu mereka mendapat peluang yang saksama dalam ekonomi negara supaya penglibatan mereka lebih tinggi dan dapat meningkatkan pemilikan hartanah dan sebagainya," kata beliau.

Ditanya mengenai pendirian kerajaan terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Abdul Wahid berkata kerajaan tidak akan menandatangani perjanjian tersebut sekiranya mendatangkan mudarat pada negara.

"Kita akan terus berunding hingga pihak-pihak yang terlibat, memahami kedudukan kita dan mengambil kira pendapat kita agar separuh klausa itu dipinda menurut kemahuan kita," kata Abdul Wahid. - BERNAMA

Comments

Popular Posts