KERAJAAN BELANJA RM160 BILLION UNTUK PROJEK REL

KUALA LUMPUR:  Kerajaan mengunjurkan berbelanja lebih RM160 bilion untuk melaksanakan projek berkaitan rel sehingga 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak 1990, kerajaan melabur lebih RM50 bilion, katanya.

"Kini, kita menyaksikan perkembangan pesat peluasan besar-besaran ke atas rangkaian rel di Asia, termasuk Malaysia.

"Dalam erti kata lain, ia merupakan kebangkitan semula perkhidmatan kereta api, memandangkan ia bukan sahaja membantu membangunkan banyak negara semasa tahun-tahun awal penubuhan, malah kini terdapat minat baharu terhadap kereta api," kata Najib yang juga Menteri Kewangan, semasa merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Perniagaan Rel Asia 2013 di sini Selasa.

Permintaan global bagi penumpang dan peralatan pengangkutan kereta api, infrastruktur dan perkhidmatan yang berkaitan, meningkat daripada AS$169 bilion pada 2007 kepada unjuran AS$214 bilion pada 2016, katanya memetik unjuran oleh Worldwatch Institute di Washington.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan industri rel dalam negara merupakan tanggungjawab besar ke atas kerajaan, penggiat industri serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Suruhanjaya Pengangkutan Darat dan Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Najib juga yakin kerajaan Malaysia boleh berjaya dan cemerlang dalam perniagaan rel dan pada masa yang sama meningkatkan mobiliti rakyatnya secara mampan.

Beliau berkata gandingan usaha penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi, pekerja mahir dan belajar daripada negara yang maju dalam industri rel, dapat menyokong pertumbuhan industri berkenaan.

"Kita perlu meningkatkan pengetahuan terkini dalam semua aspek pembinaan dan sistem rel, daripada pengurusan stesen sehinggalah jadual, pemantauan selain sistem tiket.

"Industri rel yang hampir lumpuh itu, membuat kemunculan semula yang kukuh dan diunjur menjadi kaedah pengangkutan yang sibuk pada tahun-tahun mendatang," katanya.

Najib berkata pengangkutan kereta api kurang mendapat sambutan pada masa lepas disebabkan ia secara relatifnya kurang selesa dan tidak fleksibel berbanding lori dan trak, namun dalam era kekurangan dan tekanan ke atas kos, fokus kini kembali kepada kecekapan yang kekuatannya ada pada kereta api.

Beliau berkata rel menjana dan meluaskan kemakmuran, mewujudkan pekerjaan dan membuka pasaran baharu dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Hasil berganda daripada rangkaian rel yang cergas sangat besar seperti yang terbukti pada masa lepas dan masih ketara hari ini," kata Najib. - BERNAMA

Comments

Popular Posts