RUMAH MAMPU MILIK DIPERBANYAK UNTUK BUMIPUTERA MILIKI ASET : NAJIB

KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan memperbanyak pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan kaum Bumiputera tidak ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata langkah itu akan dilaksanakan di bawah fokus ketiga Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

"Kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad, dan kerajaan negeri akan memperbanyak pembinaan rumah mampu milik kepada kaum Bumiputera di seluruh negara," katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Sabtu lepas, Najib mengumumkan langkah dan strategi baharu bagi memperkasa ekonomi Bumiputera, berpayungkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan dipengerusikan beliau sendiri.

MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Antara strategi itu ialah menangani Bumiputera yang masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial. - BERNAMA

Comments

Popular Posts