WITM, MATTA ANJUR PESTA PELANCONGAN BERSAMA DARI SEPTEMBER 2013

KUALA LUMPUR:  Pasaran Pelancongan Islam Sedunia (WITM) dan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, atau Matta Travel Fair, akan menjalin usaha sama bagi menganjurkan pesta pelancongan, yang dinamakan Pameran WITM-Matta, mulai 6 Sept ini.

Penaung pameran itu, Datuk Mohd Khalid Harun berkata usaha berkenaan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peserta kerana kedua-dua acara dikendali penganjur sama.

"Dalam menguruskan acara, operasi adalah bahagian paling sukar terutama untuk mendapatkan tajaan dan pesta pelancongan anjuran bersama ini menyediakan banyak masa kepada semua, termasuk penaja, kerana mereka boleh memasukkannya ke dalam bajet tahunan mereka," katanya pada sidang akhbar Isnin.

Turut hadir Pengerusi Pameran WITM-Matta 2013 Jeffri Sulaiman dan Naib Presiden Kanan Serantau Malaysia Airlines Muzammil Mohamad.

Mohd Khalid juga berkata kira-kira 50,000 Mattakad, iaitu kad kesetiaan untuk anggota dan orang ramai, akan diperkenal pada hari pembukaan pesta itu, yang berlangsung sehingga 8 Sept, di Pusat Dagangan Dunia Putra.

"Kad ini akan membolehkan pemegang mendapatkan diskaun dan mata yang boleg ditukar dengan hadiah atau wang tunai, dan kami kini dalam proses menjalin usaha sama dengan beberapa syarikat," katanya.

Sementara itu, Jeffri berharap kerjasama antara WITM dan Matta akan memanfaatkan semua pihak selain menarik kunjungan sekurang-kurangnya 120,000 orang pada tahun ini berbanding 118,000 tahun lepas.

Pameran WITM-Matta 2013 akan menampilkan lebih 1,250 gerai pameran.


Pada sidang akhbar itu, Malaysia Airlines turut diumum sebagai syarikat penerbangan rasmi pameran berkenaan dan bakal menawarkan lebih sejuta tempat duduk pada kadar diskaun sehingga 55 peratus bagi rangkaian domestik dan antarabangsanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts