PINDAAN AKTA PENCEGAHAN JENAYAH UNTUK PERANGI JENAYAH TERANCANG : NAJIB


NEW YORK:  Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang dicadangkan kerajaan adalah lebih khusus untuk memerangi jenayah terancang.
Perdana menteri berkata ia bukan hendak mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Najib berkata ISA berbeza daripada PCA kerana ISA memberi kuasa begitu luas untuk menahan seseorang individu tanpa proses mahkamah sebaliknya kuasa itu diberikan kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri.

"Tetapi kali ini (di bawah pindaan akta) keputusan akan dibuat oleh pihak hakim, jadi kalau polis menahan sesiapa, ia perlu menyakinkan pihak hakim bahawa individu tertentu ini perlu ditahan," kata Najib pada sidang akhbar sempena berakhir lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York, Amerika Syarikat, dari 22 Sept hingga Ahad.

"Dan kita akan pastikan tidak berlaku penganiayaan terhadap sesiapa," katanya sambil menegaskan bahawa seseorang itu tidak ditangkap hanya kerana mempunyai pendirian dan ideologi politik yang berbeza daripada kerajaan.

Najib berkata negara memerlukan undang-undang khusus untuk memerangi jenayah terancang kerana mereka yang terlibat melakukan jenayah secara terbuka.

"Ia telah menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia dan jika (kerajaan) tidak bertindak, lebih ramai akan menjadi mangsa dan tahap ketakutan akan lebih tinggi," katanya.

Perdana menteri berkata beliau mahu mewujudkan satu keadaan di mana rakyat Malaysia berasa lebih selamat di negara sendiri.

Beliau berkata bagaimanapun usaha itu memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak dan yang diutamakan ialah keadaan negara yang bebas daripada jenayah.

Ditanya mengenai terdapat bangkangan daripada pihak tertentu terhadap pindaan akta itu, Najib berkata kerajaan tidak perlu berunding dengan semua pihak berkepentingan tetapi mereka bebas untuk memberikan pandangan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah berkata bahawa pindaan akta berkenaan bertujuan membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan. -- BERNAMA

Comments

Popular Posts