TRIBUNAL RAKYAT PRU13 HANYALAH SATU PUBLISITI : GANI PATAIL
KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Tribunal Rakyat berhubung Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hanyalah satu bentuk publisiti.
Jelas beliau, tribunal seumpama itu tidak perlukan sebarang asas perundangan, tidak seperti sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
"Tak ada asas perundangan... ia cuma satu bentuk publisiti. Tribunal (diadakan) cuma untuk (dapatkan) maklumbalas. Kalau RCI lain, kita ada akta untuk itu ," katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Mengulas tentang tribunal tersebut yang turut terdiri daripada panelis luar negara, Gani berkata itu sesuatu tidak bagus.
"Itu tidak bagus… kenapa mereka perlu campurtangan urusan kita?" soal beliau.
Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu bahawan badan itu akan menunggu jawapan rasmi bertulis daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengetahui samada SPR patut hadir ke tribunal itu ataupun tidak.
Bercakap kepada Astro Awani, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata buat masa ini mereka tidak pasti tentang kedudukan tribunal itu dari segi perundangan.
"Kita perlu tunggu alasan yang digunakan tribunal itu dari segi perundangan. Atas asas apa mereka adakan tribunal ini?" kata Abdul Aziz.
Ditanya samada SPR akan menyertai tribunal tersebut jika dibolehkan, beliau sekali lagi berkata akan menunggu pandangan dari pihak perundangan.
Tribunal Rakyat anjuran Bersih 2.0 berlangsung dari 18 hingga 22 September juga turut memanggil beberapa individu termasuk seorang wakil calon pilihan raya yang lalu serta wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Antara dakwaan yang ditimbulkan termasuklah penyelewengan dari segi daftar pemilih, penipuan dalam pengendalian undi pos dan undi awal serta pelbagai lagi isu.
SPR, polis dan wakil Barisan Nasional turut diundang ke tribunal tersebut, namun kehadiran mereka masih lagi samar-samar.
Panel tribunal terdiri dari pakar undang-undang,Profesor Yash Pal Ghai, mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia Ramlan Surbakti, bekas pegawai diplomatik Kementerian Luar Negeri, Datuk Azzat Kamaluddin, bekas pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Reverend Dr Herman Shastri.
Manakala, Pengarah Pusat Kecemerlangan untuk Undang-undang Biodiversiti, Universiti Malaya, Profesor gurdial Singh Nijar bertindak sebagai ketua untuk pasukan guaman bagi tribunal ini. - Astro Awani
Comments
Post a Comment