POLIS KESAN TREND KONGSI GELAP BERSELINDUNG DI SEBALIK MAJLIS RASMI

KUALA LUMPUR:  Polis mengesan ada kumpulan kongsi gelap  berselindung di sebalik majlis rasmi masyarakat dengan menaja majlis terbabit bagi mengaburi mata masyarakat mengenai kegiatan haram mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata polis menyedari trend ini dan mereka (kongsi gelap) menyasarkan majlis masyarakat, terutama yang dihadiri orang kenamaan.

"Mereka akan menaja majlis tersebut untuk menunjukkan penglibatan mereka dengan masyarakat. Tujuan mereka tidak lain ialah untuk menunjukkan mereka pun ada membuat kebaikan. Mereka akan mengambil gambar bersama orang kenamaan dan masyarakat sebagai bukti menunjukkan mereka menjalankan kegiatan yang sah," katanya.

Beliau berkata trend seperti itu adalah untuk menyusup masuk ke dalam sesuatu komuniti bagi mengalih perhatian orang ramai berhubung aktiviti mereka yang sebenar.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ada pemimpin kanan parti politik telah menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang" yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap geng '36'.

Ekoran itu satu laporan polis dibuat berikutan penyebaran sepucuk surat di Internet yang mendakwa tiga pemimpin sebuah parti politik itu turut hadir dalam majlis yang dihadiri 6,000 peserta di Seri Kembangan pada 3 Disember lepas.

Abdul Jalil berkata anggota kongsi gelap terbabit akan menjadi wakil dalam sesebuah komuniti dan menaja majlis-majlis anjuran masyarakat termasuk memanggil golongan kenamaan untuk menghadiri majlis yang diadakan.

"Kadang-kadang ada anggota masyarakat tidak sedar, mungkin mereka gembira ada tajaan di sebalik penganjuran majlis itu, (tetapi) sebenarnya di belakang mereka adalah kumpulan kongsi gelap. Mereka perlu berhati-hati," katanya.

Abdul Jalil turut menjelaskan pihaknya sentiasa memantau perkara itu dan turut menasihati jawatankuasa penduduk agar lebih berhati-hati untuk menganjur serta menerima sebarang penajaan daripada individu yang diragui latar belakang mereka.

Beliau berkata pihaknya turut meminta golongan kenamaan dan orang ramai agar menyemak latar belakang sesuatu majlis yang dianjurkan sesuatu komuniti bagi mengelak kumpulan kongsi gelap terbabit daripada 'menangguk di air yang keruh'. - BERNAMA

Comments

Popular Posts