PENCETAK 3D BOLEH JADI ANCAMAN KEPADA KESELAMATAN : ZAMAN KHAN


Bukan main-main! Sebelum ini kita disajikan perkara canggih berkautan teknologi media dengan 3D. Sehingga siaran filem 3D mendapat sambutan hebat walaupun tiketnya sedikit tunggi berbanding filem biasa.
Walau bagaimanapun, maklumat pencetak 3D ini sangat mengejutkan apabila ianya adalah peralatan membuat senjata yang berbahaya.

Baca lagi...

KUALA LUMPUR:  Pencetak 3D, iaitu percetakan sesuatu pelan kepada model bentuk plastik, membuka ruangan kreatif untuk perniagaan dan ilmu namun boleh menjadi ancaman kepada keselamatan umum jika disalahgunakan.

Terbaru ada pihak dari Amerika Syarikat menyediakan pelan pembinaan senjata api yang boleh dicetak melalui laman web dan ini menimbulkan kekhuatiran pelbagai pihak termasuk Malaysia.

Oleh sebab itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata kerajaan bukan sahaja di Malaysia malah di dunia perlu ada sistem kawalan terhadap mesin teknologi digital terkini itu yang mampu mengganggu-gugat keselamatan negara.

Beliau berkata penggunaan mesin itu mungkin memberi manfaat kepada semua namun tanpa kawalan yang ketat akan memberi peluang kepada individu berniat jahat menghasilkan sesuatu yang memudaratkan.

"Memang kita puji penggunaan mesin itu, tapi dari segi kesalahan ini sangat berbahaya, pencetak 3D yang dijual tanpa kawalan, individu yang berniat jahat mampu menghasilkan senjata api melaluinya," katanya kepada Bernama.

Zaman Khan berkata biarpun setakat ini, masih belum ada yang digunakan untuk perkara jenayah, namun sekiranya tidak dikawal dan tanpa pemantauan yang lebih akan membanjirkan negara malah dunia dengan senjata api," katanya.

Rasional kerisauan Zaman Khan bersandarkan insiden cubaan bunuh dan bunuh di negara ini melibatkan penggunaan senjata api termasuk membabitkan kes berprofil tinggi.

Antara kes itu adalah pada 29 Julai lepas apabila Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi dibunuh manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini.

Dua hari sebelum itu, aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan jalan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Zaman Khan mengulas berhubung pencetak 3D iaitu alat pembuatan yang menjadikan fail imej 3 Dimensi sebagai input untuk diterjemahkan menjadi produk fizikal, diperbuat daripada bahan plastik.

Dakwat atau bahan yang digunakan untuk membina objek bercetak itu diperbuat daripada 'acrylonitrile butadiene styrene' (ABS) iaitu bahan plastik yang sama digunakan untuk membuat mainan kanak-kanak dan mesin itu dijual beberapa syarikat di Malaysia dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM7,500 seunit.

Lebih menggemparkan ada laman video di You Tube memaparkan seorang lelaki Kanada berjaya menembak 14 pusingan tunggal dari senapang yang dihasilkan melalui pencetak 3D dan adakah penemuan yang jelas ini akan memaksa kerajaan Amerika Syarikat untuk memikirkan semula dan mengharamkan video itu daripada dimuat naik dalam talian.

Zaman Khan berkata dakwat yang digunakan pencetak 3D juga perlu dikawal atau diharamkan terus daripada dijual melainkan individu terbabit mempunyai lesen untuk memilikinya.

"Ini sangat bahaya, kalau di Malaysia dah ada, yang memiliki mesin pencetak ini perlu diberi kawalan dan pengawasan yang ketat oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Sheikh Raffie Abd Rahman berkata pihaknya sentiasa memantau video yang dimuat naik dalam talian dan individu yang terlibat boleh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988.

"Individu itu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 (1) AKM 1998 iaitu seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, mewujudkan apa-apa komen, permintaan, mengugut atau mengganggu orang lain.

"Malah individu itu juga boleh dikenakan menurut Seksyen 183 AKM 1998 iaitu seseorang yang menggunakan apa-apa kelengkapan teknik atau sistem yang mmenjejaskan keselamatan awam, tapi pencetak 3D bukan sesuatu yang salah selagi tidak mendatangkan bahaya," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang melihat penyebaran video menghasilkan senjata boleh membuat aduan kepada SKMM dan polis namun dinasihati supaya tidak menyebarkannya kepada pengguna laman You Tube yang lain. - BERNAMA

Comments

Popular Posts