UGUT BUNUH BUKAN MAIN MAIN, POLIS SIASAT TANPA KIRA POLITIK: ZAHID

KUALA LUMPUR:  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata arahan diberikan kepada pihak polis untuk menyiasat setiap kes ugutan bunuh dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Beliau mengulas tentang kes ugutan bunuh ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, baru-baru ini.

"Dalam soal ugutan bunuh ni, takde soal main main, tidak ada soal sengaja untuk berjenaka. Jawapan saya ialah ajar dia untuk tidak melalukannya," kata Zahid.

Zahid berkata walaupun Lim menerima ugutan bunuh, kerja polis perlu 'buta warna' dan tidak mengira samada mangsa itu tokoh pembangkang atau tokoh kerajaan.

"Jika ada ugutan bunuh, saya akan berikan perlindungan, saya akan arahkan cpo dan pegawai penyiasat untuk menyiasat," katanya.

Beliau berkata,siasatan akan dijalankan bagi mempastikan kegiatan dalang yang cuba mencetuskan suasana tidak tenteram di negara ini dapat dibendung.

Menurutnya ,polis memandang serius setiap aduan dari sudut jenayah tanpa mengira fahaman politik dalam usaha membanteras kegiatan jenayah serta budaya kongsi gelap di negara ini

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Koninjen Terengganu di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Khalid dilaporkan membuat keputusan untuk memaafkan tindakan lelaki berusia 33 tahun yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadapnya.

Suspek telah dibebaskan hari ini selepas kenyataannya diambil semalam.

"Saya telah semak latar belakang dia dan kita (polis) melihat dia merupakan orang terpelajar, kita juga telah kaji kenapa dia bertindak sedemikian dan sebagainya...mungkin kerana emosi, dia terlepas cakap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada tindakan itu menunjukkan kelonggaran yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau menegaskan: "Kita mahu masyarakat tahu bahawa kita bukan 'gila' sangat hendak menangkap dan tuduh orang".

"Tetapi saya ingatkan dia agar tidak mengulangi perkara sama dan berharap tidak ada yang akan melakukan perkara sama dengan mengeluarkan percakapan atau entry dalam laman sosial yang berunsur ugutan kerana ia boleh disalahertikan pihak lain.

Semalam, lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selepas kenyataan ugutan bunuh yang dikeluarkannya terhadap Khalid melalui laman social Facebook tersebar.

Dia didakwa telah mengeluarkan komen itu di bawah nama Murugan Nagaretinam dengan menulis: "Can anyone just hire gunman to shoot down this police or igp?" semasa memberi komen dalam laman sosial kawannya mengenai tindakan polis yang berjaya menembak mati dua lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap Geng 36. - Astro Awani

Comments

Popular Posts