PEMBANGUNAN DI SABAH DAN SARAWAK TIDAK AKAN TERPINGGIR : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya tidak sekali-kali akan meminggirkan Sabah dan Sarawak malah sentiasa berusaha memastikan pembangunan sama rata untuk semua negeri di Malaysia.

Perdana Menteri berkata satu kompromi telah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia.

Katanya, hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.

"Sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa berusaha bagi memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri di Malaysia," katanya dalam posting terbaru di laman blog www.1Malaysia.com.my sempena sambutan Hari Malaysia esok.

Najib berkata usaha berterusan bagi membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Malah katanya kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negeri itu telah banyak berubah berbanding 50 tahun yang lepas, selaras dengan pembangunan global.

Najib berkata sejak tahun 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pada 2012 sejumlah RM62.3 juta daripada jumlah RM2 bilion telah diperuntukkan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk mereka bentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah.

Tambahnya, sebanyak RM207 juta juga telah diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek infrastruktur dan pertanian.

"Usaha berterusan membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia malahan kehidupan masyarakat di kedua-dua negeri tersebut telah banyak berubah berbanding 50 tahun lalu selaras dengan pembangunan global," katanya.

Najib berkata tahun ini amat bersejarah buat semua rakyat Malaysia kerana negara akan menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya yang ke-50 esok.

"Pengisytiharan rasmi penubuhan Malaysia telah dibuat oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tarikh bersejarah ini, dalam tahun 1963, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, pengisytiharan itu yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat telah memberi sinar harapan kepada seluruh rakyat.

"Pada ketika itu, rakyat berbilang kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam sebuah negara yang berdaulat", katanya.

Sempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-50, Najib turut menyeru rakyat negara ini agar berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi, mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian.

"Walaupun dalam usia muda, Malaysia berjaya membina sebuah negara disegani, sama ada dari aspek politik, ekonomi dan pembangunan sosial. Pengorbanan dan usaha gigih semua pihak dalam membentuk negara, mempertahankan keamanan dan kemakmuran selama ini akan sentiasa dihargai", katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts