PEMBENTUKAN MALAYSIA BAWA RAHMAT KEPADA EKONOMI BUMIPUTERA SABAH


KOTA KINABALU: Penyatuan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menerusi pembentukan Malaysia membawa rahmat kepada negara ini, khususnya di Sabah, yang menyaksikan perubahan besar dari segi landskap pembangunan ekonomi Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan infrastruktur, perumahan, program menjana pendapatan dan taraf hidup di Sabah, terutama masyarakat Bumiputera, yang banyak memperlihatkan peningkatan. 


Pencapaian itu meletakkan Bumiputera Sabah seiring dengan kemajuan yang dicapai di negeri-negeri lain, katanya ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Sabah, di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Sambil memberikan contoh komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan di Sabah, Muhyiddin berkata ini dapat dilihat menerusi peningkatan purata pendapatan isi rumah di negeri ini bagi 2012 sebanyak RM4,013 sebulan berbanding hanya RM3,102 pada 2009. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 29.4 peratus, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 8.6 peratus, katanya.


"Purata pendapatan bulanan di bandar pula meningkat sebanyak 22.7 peratus daripada RM3,803 pada 2009 kepada RM4,668 pada 2012, manakala di luar bandar pula meningkat sebanyak 33.8 peratus daripada RM2,177 kepada RM2,913," katanya. Beliau berkata, kadar kemiskinan di Sabah terus berkurangan, daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus pada 2012.


"Kejayaan kerajaan dalam mengurangkan dan membasmi kemiskinan dicapai melalui pelaksanaan program khusus untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah menjana pendapatan yang lebih tinggi.


"Antaranya program 1AZAM, program pembangunan Agropolitan dan Mini Estet Sejahtera, ternakan dan pertanian komersil dan pinjaman kredit mikro, katanya.


Bagi negeri Sabah, Muhyiddin berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak 12.2 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan, termasuk infrastruktur luar bandar, program pendidikan dan bantuan rumah menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Katanya, ini secara tidak langsung akan membuka peluang luas kepada usahawan di Sabah untuk lebih aktif dalam kegiatan ekonomi. Muhyiddin berkata, menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), Sabah mengecap pelbagai kemajuan dalam pembangunan sosial dan infrastruktur, termasuk pembinaan dan menaik taraf 1,270 kilometer jalan luar bandar sejak 2010, menyediakan 41,443 rumah di kawasan luar bandar yang dilengkapi kemudahan elektrik sejak 2010, 97,568 rumah di kawasan luar bandar yang dilengkapi kemudahan air bersih sejak 2010.


Timbalan Perdana Menteri berkata pelbagai inisiatif di bawah NKRA bagi Mempertingkat Infrastruktur Asas Luar Bandar telah memberikan impak positif kepada lebih sejuta rakyat negeri Sabah. Sebagai langkah khusus untuk membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan, beliau berkata sebanyak 293.5 juta diperuntukkan bagi melaksana program 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) untuk Negeri Sabah dalam NKRA bagi meningkatkan isi rumah berpendapatan rendah.


Muhyiddin berkata sehingga Jun tahun ini (2013), seramai 27,540 individu berpendapatan rendah di Sabah telah dibantu menerusi Program 1 AZAM, sekali gus menjadi negeri penerima terbesar Program 1AZAM.

"Tahun ini, Kerajaan memperuntukkan RM98 juta untuk membantu hampir 7,500 peserta baharu 1AZAM di Sabah. Insurans perlindungan juga diberikan kepada setiap peserta sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts