"SAYA TIDAK AKAN KECEWAKAN AHLI UMNO DAN RAKYAT MALAYSIA" : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau tidak akan mengecewakan anggota UMNO dan rakyat dalam menunaikan tanggungjawabnya mentadbir negara.

Najib berkata beliau akan berjuang habis-habisan untuk parti dan rakyat dan akan terus memimpin selagi mendapat sokongan daripada anggota parti dan rakyat.

"Semua pemimpin menghadapi cabaran dan apabila dah masuk ke gelanggang, jangan kita keluar di tengah-tengah perlawanan, saya tidak akan berundur, Insya-Allah. Kita akan bergerak maju ke depan," katanya menerusi laman blognya NajibRazak.com hari ini.

Beliau berkata dalam politik, bagi menjatuhkan seorang pemimpin, akan ada pelbagai konspirasi dari dalam dan luar negara, yang kesemuanya, bertujuan untuk menjatuhkan UMNO sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara.

"Kalau orang nak hancurkan parti, mestilah serang pemimpinnya. Kalau sudah hilang kepercayaan pada pemimpin, maka mudahlah parti itu tumbang pada bila-bila masa," katanya.

Dalam masa sama, Najib menyeru rakyat supaya bersama-sama memahami situasi politik ketika ini dan mereka perlu jelas keadaan negara yang aman dan menjurus kepada kejayaan adalah kerana dipimpin parti keramat UMNO.

Beliau berkata masyarakat kini berdepan suatu suasana baharu dengan media sosial digunakan untuk menyebar kebencian kepada pemimpin sehinggakan budi pemimpin tidak bermakna.

"Hari ini, media sosial hanya di hujung jari untuk kita menyatakan sesuatu yang benar, atau menabur fitnah, dulu tidak ada senjata untuk mencerca, fitnah dan mengaibkan pemimpin mahupun ada cubaan menjatuhkan pemimpin, kalau ada pun, mereka hanya gunakan surat layang dan cara lain.

"Inilah mainan yang berlaku sekarang dan kebetulan pula ia berlaku pada masa saya sebagai pemimpin parti," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa terharu melihat kehadiran dan sokongan ramai rakan-rakan dalam parti komponen BN yang turut hadir pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan semalam.

Mengimbau kembali sejarah permulaan beliau sebagai pemimpin hampir 40 tahun lalu, Najib berkata beliau berazam untuk menyambung legasi dan perjuangan ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai pemimpin anak jati Pekan.

"Apabila disuruh oleh parti untuk bertanding bagi Pilihan Raya Kecil pada bulan Mac 1976, saya agak tergamam, umur saya belum cukup 23 tahun dan saya bertanya pada diri sendiri, mampukah saya menggalas tanggungjawab yang berat ini?," katanya.

Najib berkata ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia, keadaan menjadi sukar apabila UMNO diharamkan pada 1987.

"Saya tak boleh bayangkan pada masa itu apakah yang akan terjadi kepada parti kita, tetapi saya sedar bahawa dalam apa jua keadaan, perjuangan mesti diteruskan. Kita telah berikhtiar dan menggunakan kebijaksanaan, berpakat serta mencari jalan bagaimana kita boleh membangunkan semula parti yang sudah banyak berjasa dan berbudi ini.

"Alhamdulillah kita melihat UMNO lebih berjaya pada hari ini," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts