'KOMPONEN BN JANGAN CURIGA DENGAN PERHIMPUNAN 16 SEPTEMBER LEPAS': SYED ALI


KUALA LUMPUR:  Komponen Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya berasa curiga dengan perhimpunan baju merah yang diadakan 16 September lalu, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Jelasnya, perhimpunan tersebut merupakan manifestasi kekecewaan orang Melayu, khususnya ahli-ahli UMNO, terhadap pihak tertentu yang sengaja memainkan sentimen perkauman dalam usaha mereka meruntuhkan kerajaan demokrasi secara tidak sah.

"Perhimpunan tersebut ingin memberi peringatan kepada pihak berkenaan bahawa orang Melayu masih boleh bersatu jika maruah dan masa depan mereka diperkecilkan.

"Orang Melayu sudah lama bersabar dengan gelagat bukan Melayu di negara ini, jadi perhimpunan tersebut sewajarnya dilihat secara positif," katanya dalam catatan terbaru di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my.

Oleh sebab itu, tegasnya, rakan-rakan komponen tidak perlu terburu-buru membuat andaian negatif kononnya perhimpunan tersebut berbaur rasis.

Sebaliknya, hujah beliau, UMNO sentiasa berpegang kepada prinsip setiakawan dalam BN.

"Tidak timbul soal rasis atau memperjuangkan kepentingan Melayu kerana asas perjuangan UMNO adalah untuk Melayu, agama Islam dan negara ini.

"Selaku tonggak BN, UMNO sentiasa menghormati hak bersuara rakan-rakan komponen BN," ujarnya.

Syed Ali, bagaimanapun, melahirkan rasa kecewa dengan sikap MCA kerana bersifat berat sebelah dan prejudis dalam membuat penilaian berhubung perhimpunan 16 September lalu.

"Mereka marah kepada pemimpin UMNO kerana perhimpunan tersebut tetapi mereka berdiam diri apabila ribuan kaum Cina menyertai perhimpunan Bersih 4.

"Mereka hanya nampak orang Melayu berhimpun kerana marah dan kecewa tetapi mereka pejam mata melihat kaum mereka menghina pemimpin UMNO," katanya.

Menurutnya, komponen BN terutama MCA sepatutnya mendapatkan penjelasan berkaitan perhimpunan 16 September lalu menerusi saluran yang betul.

Katanya, BN sentiasa mengamalkan semangat setiakawan dan sebarang rasa tidak puas hati boleh disalurkan menerusi Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan semangat ahli-ahli parti perlu diperkukuhkan terutama di peringkat akar umbi.

Katanya, pengukuhan semangat dan jati diri termasuk sayap-sayap parti harus dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Syed Ali menambah, sebarang pertelingkahan dan percanggahan pendapat sesama ahli UMNO perlu dihindari dengan memberi keutamaan kepada agenda perjuangan parti.

"Pemimpin di atas juga perlu sentiasa berhemah dan menunjukkan sifat terpuji seperti tidak sombong, angkuh dan bersedia mendengar suara akar umbi,

"UMNO bakal berdepan dengan saingan pembangkang yang cukup sengit dalam PRU akan datang," ujarnya.

Syed Ali turut menasihatkan ahli-ahli parti supaya tidak terpedaya dan terbuai dengan 'kekecohan' politik yang sedang melanda parti-parti pembangkang.

"Kita harus waspada kerana kadangkala pihak pembangkang hanya bersandiwara dan melakukan provokasi untuk melihat sejauh mana kekuatan UMNO," tegasnya. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts