NAJIB AKAN FAIL PERMOHONAN UNTUK BATALKAN SAMAN ANINA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh akan memfailkan permohonan esok untuk membatalkan saman berhubung wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri dan presiden parti itu.
Peguam Nor Emilia Mohd Iszeham yang mewakili Najib dan Abdul Rauf memberitahu media bahawa kedua-dua defendan juga akan memfailkan satu lagi permohonan iaitu untuk menggantung prosiding beberapa permohonan yang difailkan plaintif sementara permohonan untuk membatalkan saman didengar.
"Kami akan memfailkan permohonan itu esok," katanya selepas kes itu disebut di dalam kamar hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin.
Pada 28 Ogos lepas, Anina Saadudin, bekas anggota UMNO, memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran balik sejumlah RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.
Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Anina pula berkata mahkamah mengarahkan pernyataan pembelaan difailkan selewat-lewatnya 1 Okt.
Aizul Rohan berkata mahkamah menetapkan 26 Okt untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab. - BERNAMA
Comments
Post a Comment