INSIDEN REMPUHAN MINA: ADA JEMAAH BIMBANG TERUSKAN IBADAT


Saksi-saksi kejadian rempuhan yang mengorbankan lebih 700 jemaah haji di Arab Saudi semalam menyatakan kebimbangan mereka untuk meneruskan ibadat.

Tragedi malang itu berlaku ketika jemaah haji dari seluruh dunia berpusu-pusu untuk melakukan ibadat melontar di jamrah di Mina.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 717 orang maut dan 863 cedera, menyaksikan Raja Salman mengarahkan agar satu suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat dan mengenalpasti punca kejadian.

Satu sumber Menteri Kesihatan Arab Saudi menyalahkan kegopohan jemaah sebagai punca namun di kalangan jemaah pula tidak bersetuju.

"Jemaah sangat ramai. Polis telah menutup semua pintu masuk dan keluar ke kem jemaah dan hanya satu yang dibuka," kata Ahmed Abu Bakr, jemaah dari Libya berusia 45 tahun yang terselamat daripada tragedi itu.

"Saya nampak banyak mayat, mangsa yang cedera dan ada yang lemas. Kami membantu mengalihkan mangsa,"katanya.

Ahmed menambah polis yang bertugas di kawasan tragedi nampak seperti tidak berpengalaman.

"Jalan di sekitar kawasan ini juga mereka tidak tahu," katanya sambil dipersetujui jemaah lain.

Jemaah haji bermalam di sebuah kompleks khemah kalis api yang mampu memuatkan kira-kira 2 juta jemaah, dengan 100,000 anggota polis menyelaras dan mengawasi kawasan berkenaan.

'Tiada pengetahuan'

Sekalipun jumlah mereka ramai, jemaah mendakwa anggota keselamatan yang bertugas tidak diberi latihan yang mencukupi dan kurang kemahiran komunikasi terutama sekali dengan jemaah dari luar negara.

"Mereka langsung tidak tahu bagaimana mahu berkomunikasi dengan jemaah," kata Irfan al-Alawi, pengasas bersama Yayasan Kajian Warisan Islam yang beribu pejabat di Mekah.

"Tiada kawalan terhadap jemaah yang ramai," kata Alawi.

"Seorang lagi saksi, Mohammed Hasan, 39, dari Mesir, meyatakan kebimbangan yang insiden yang sama boleh berulang.

"Tentera berkumpul di satu tempat tanpa melakukan apa-apa," katanya.

Dia juga mendakwa kewarganegaraannya dihina apabila seorang pengawal keselamatan memintanya "kenal pasti mayat orang Mesir ini".

"Kenapa memalukan kami sebegini? Kami datang untuk mengerjakan haji dan kami tidak minta apa-apa pun," kata Hasan dalam nada marah, sambil meminta agar pihak berkuasa menyelaras jalan yang dilalui untuk memudahkan jemaah.

Malah sebelum kejadian rempuhan itu, ramai jemaah sudah menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu pengurusan.

Kejadian rempuhan semalam berlaku di luar Jambatan Jamarat setinggi lima tingkat, yang dibina sedekad lalu dengan kos $1 bilion, yang bertujuan memastikan keselamatan jemaah.

Hampir satu kilometer panjang (kurang dari satu batu), Jambatan Jamarat membolehkan 300,000 jemaah menjalankan ibadah melontar pada satu masa.

'Tiada pengurusan'

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Jeneral Mansur al-Turki berkata rempuhan adalah akibat jumlah jemaah yang ramai dan bergerak pada satu masa di persimpangan dua jalan di Mina.

"Cuaca yang panas dan keletihan Jemaah juga menjadi penyebab," katanya.

Seorang lagi menteri menyatakan jemaah haji yang tidak mengikut peraturan adalah punca tragedi.

Namun bagi seorang jemaah dari Mesir bernama Ahmed, jemaah tidak sepatutnya dipersalahkan.

"Arab Saudi membelanjakan banyak wang namun tiada pengurusan," katanya sambil menyatakan kawalan pergerakan jemaah keluar dan masuk khemah perlu diperkemaskan.

"Mereka perlu bina satu jalan untuk pergi dan satu jalan untuk pulang agar tiada pertembungan," kata Ahmed.

"Kalau ada anggota keselamatan berkawal di jalan, tentu kejadian ini tidak berlaku,"tambahnya.

Ibadah melontar sepatutnya berterusan hingga Sabtu namun ada jemaah yang meluahkan rasa bimbang kejadian yang sama akan berulang. Namun ada yang tetap percaya Allah akan melindungi mereka.

"Memang kami bimbang," kata Hasan. "Saya mahu melontar pada waktu malam. Seorang ulama beritahu ia dibolehkan." - AFP

Comments

Popular Posts