PDRM SEDIA PANTAU HIMPUNAN RAKYAT BERSATU


KUALA LUMPUR:  Pihak polis akan menggerakkan anggotanya bagi memantau Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September.


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis membuat keputusan itu selepas penganjur perhimpunan itu mendapat kelulusan DBKL untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi perhimpunan.

Menurut Khalid, dengan kelulusan DBKL itu, penganjur telah mematuhi peraturan untuk mengadakan perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA).

Katanya, polis juga tidak akan menghalang peserta perhimpunan untuk berarak dari beberapa lokasi termasuk Bukit Bintang dan Petaling Street.

"Kami akan memastikan ia berjalan dengan cara berdispilin. Ini bermakna kami akan menggerakkan sejumlah anggota polis yang tinggi dan mencukupi.

"Kebimbangan utama kami adalah untuk memastikan keselamatan rakyat dan harta awam di bandar ini," kata Khalid pada sidang media Mesyuarat Antarabangsa ICC-IMB Pelanunan Global, Rompakan Bersenjata dan Keselamatan Maritim pada Isnin.

Mengenai dakwaan perhimpunan akan mencetuskan kacau bilau, Khalid menasihatkan supaya rakyat tidak mudah percaya dengan khabar angin tersebut.

Beliau menyifatkan penyebaran dakwaan negatif itu hanya bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

Khalid turut menasihati penganjur agar memastikan perhimpunan itu berlangsung secara aman dan tingkah lagu pesertanya tidak melanggari undang-undang.

"Penganjur akan dipertanggungjawabkan jika berlaku apa-apa yang melanggar undang-undang.

"Kepada peserta perhimpunan 16 September ini, buktikan apa yang sudah diperkatakan bahawa ini adalah perhimpunan aman. Buktikan ia akan mematuhi undang-undang," kata Khalid.

Awal hari ini, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) telah menerima kelulusan daripada pihak DBKL untuk menggunakan Padang Merbok sebagai tempat perhimpunan. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts