JADUAL PADAT MENANTI PERDANA MENTERI DI PERHIMPUNAN AGUNG PBB
NEW YORK: Datuk Seri Najib Razak mempunyai jadual padat pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, dengan menyertai dalam sekurang-kurangnya tujuh mesyuarat peringkat tertinggi yang akan diadakan di kompleks PBB di Manhattan di sini.
Perdana menteri, yang mengetuai delegasi terdiri daripada beberapa menteri Kabinet, akan menyampaikan pernyataan rasmi pada mesyuarat berkenaan sebelum berucap dalam Debat Umum PBB pada 1 Okt.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata perdana menteri akan turut diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Anifah berkata tema bagi sesi tahun ini ialah "PBB pada 70: Jalan ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia".
Di luar persidangan itu, Anifah berkata Najib dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan beberapa ketua kerajaan dan ketua negara yang menghadiri perhimpunan agung itu.
Najib terlebih dahulu akan berucap pada rundingan Meja Bulat Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Selatan-Selatan, antara lain akan dihadiri oleh Setiausaha Agung PBB Ban ki-Moon dan pemimpin China, Xi Jinping.
Semasa di New York, perdana menteri dijadual menerima anugerah pada majlis jamuan malam gala bersempena ulang tahun ke-150 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Anugerah itu berikutan sumbangan beliau ke arah memanfaatkan potensi teknologi komunikasi dan maklumat bagi pembangunan lestari.
Pada Ahad (27 Sept), Najib merupakan antara pemimpin yang akan berucap pada Sidang Kemuncak PBB untuk Menerima Pakai Agenda Pembangunan pasca-2015 mengenai Pembangunan Mapan.
Anifah berkata Najib dijangka menggariskan komitmen dan sokongan Malaysia bagi Agenda Pembangunan 2030 dan pelaksanaannya.
Pada hari sama, perdana menteri dijadual berucap pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Sedunia mengenai Kesamarataan Gender dan Pemerkasaan Wanita.
Isnin ini, Najib akan mempengerusikan Mesyuarat ke-5 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sebuah hotel di sini.
Beliau kemudian akan beredar ke ibu pejabat PBB untuk menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak para Pemimpin mengenai Pemeliharaan Keamanan, sesi yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Ini disusuli dengan majlis minum petang Najib bersama diaspora Malaysia di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di sini sebagai sebahagian daripada Program Outreach kerajaan dengan rakyat Malaysia di luar negara yang tinggal, belajar dan bekerja di Amerika Syarikat.
Pada Selasa, Najib akan menyampaikan satu lagi ucapan penting pada Sidang Kemuncak para Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau yang turut dipengerusikan Presiden Obama.
Anifah berkata perdana menteri dijadual menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Negara-negara yang terlibat dalam Pasukan Penyiasat Bersama berhubung MH17 (JIT) terdiri daripada Australia, Belgium, Belanda, Ukraine dan Malaysia.
"Mesyuarat itu bertujuan menegaskan semula keazaman bersama dan berterusan negara anggota JIT untuk memburu kebertanggungjawaban pelaku dan mendapatkan keadilan bagi mangsa serta orang tersayang mereka," katanya.
Tumpuan lain perdana menteri semasa berada di sini adalah untuk terus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dalam pertemuan beliau dengan pemimpin perniagaan dan peneraju industri Amerika Syarikat.
Sementara itu, Anifah juga mempunyai jadual yang padat dengan menghadiri beberapa mesyuarat membabitkan menteri dari ASEAN selain mesyuarat bersama beberapa kumpulan hubungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan berlepas dari New York City ke Milan, Itali, pada 1 Okt untuk satu lagi lawatan kerja. - BERNAMA
Comments
Post a Comment