BN PERLU SEGERA BINA KEKUATAN DALAMAN SEBAGAI PERSIAPAN HADAPI PRU: MUSTAPA


JELI:  Barisan Nasional (BN) perlu segera membina kekuatan bagi membela nasib rakyat dan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak, kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata perpecahan dalam PAS selain parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan memberi kesan kepada senario politik negara dan BN perlu mengambil peluang untuk membina kekuatan dalamannya.

"Kita bukan bergantung kepada mereka (pakatan pembangkang) kita bergantung kepada kekuatan dalaman kita tetapi ini masanya kita mengubah strategi kita untuk memperkukuhkan kedudukan BN peringkat negeri dan nasional," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau bersempena Hari Raya Aidiladha di sini, hari Jumaat.

Mustapa diminta mengulas kesepakatan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dalam proses didaftarkan, untuk menubuhkan sebuah pakatan baharu yang dinamakan Pakatan Harapan pada 22 Sept lepas, tanpa penyertaan PAS.

Beliau berkata senario politik negara telah berubah dengan berlakunya perpecahan dalam PAS sehingga lahirnya Parti Amanah Negara yang dalam proses didaftarkan serta keputusan PAS untuk tidak menyertai Pakatan Harapan itu.

Beliau berkata perpecahan dalam pakatan pembangkang itu sudah lama dijangka berikutan berlaku perbezaan pendapat yang besar antara PAS dan DAP sehingga PAS banyak bertolak ansur.

Kata Mustapa, walaupun pakatan pembangkang dilihat lemah kesan daripada keputusan PAS tidak menyertai Pakatan Harapan itu, UMNO dan BN tidak boleh leka daripada terus membina kekuatan membela nasib rakyat dan menghadapi pilihan raya umum.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan negeri Kelantan memperjelaskan kepada rakyat isu berkaitan pembinaan lebuh raya rakyat, projek ladang rakyat dan pembalakan.

Katanya berkata rakyat ingin tahu perkembangan pembinaan lebuh raya rakyat dari Kota Baharu-Kuala Krai yang dikatakan akan diserahkan pelaksanaannya kepada kerajaan persekutuan berikutan kerajaan negeri tidak mampu dari segi kewangan.

Beliau berkata rakyat juga ingin tahu sejauh mana kejayaan projek ladang rakyat yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan rakyat di negeri ini dan begitu juga dengan pembalakan yang didakwa berlaku rasuah.

Pada majlis itu, Mustapa turut diraikan bersempena ulang tahun ke-65 kelahirannya.- BERNAMA

Comments

Popular Posts