Followers

BN SEDIA PROGRAM LEBIH KONKRIT BAGI PEMBANGUNAN MASYARAKAT INDIA : NAJIB


KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai program-program yang lebih konkrit berhubung pembangunan masyarakat India di negara ini berbanding pembangkang.


Beliau berkata kesungguhan kerajaan itu boleh dilihat melalui pelbagai program yang dibuat bagi memperkasakan masyarakat itu, justeru mereka tidak perlu mendengar hasutan mahupun janji-janji kosong pembangkang berhubung perkara itu.

Katanya kerajaan antara lain telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India, manakala melalui Sekretariat Khas Bagi Memperkasakan Usahawan India (SEED), ia telah membantu 24,000 usahawan India dengan peruntukan RM711 juta.

"Kita juga melantik empat pegawai SEED di Amanah Ikhtiar Malaysia, memberi peruntukan sebanyak RM600 juta untuk pembangunan infrastruktur Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sejak 2009 dan meluluskan pembinaan tujuh SJKT.

"Jika dibandingkan enam tahun kebelakangan ini, kita telah banyak membantu masyarakat India, namun kerajaan masih tidak berpuas hati," katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti ketujuh di sini, hari ini.

Najib berkata kerajaan kini sedang menggubal pelan hala tuju pembangunan masyarakat India dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 bagi meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

"Saya harap semua pihak yang menjadi pemegang taruh boleh memberi input masing-masing supaya kita boleh menggubal rangka tindakan itu untuk dilaksanakan.

"Kita akan dokumentasikan dalam pelbagai bentuk dan edarkan kepada masyarakat India supaya mereka mendapat pengetahuan yang lebih tepat tentang apa yang dibuat kerajaan BN," kata Najib yang berharap untuk terus mendapat sokongan masyarakat India.

Perdana Menteri berkata, BN sentiasa berdiri di atas falsafah bahawa nikmat pembangunan negara harus dirasai semua kaum tanpa mengira kedudukan dan kasta.

Dalam pada itu, beliau berkata sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN sangat penting pada ketika negara menghadapi pelbagai ujian termasuk isu politik dan ekonomi.

Najib berkata demonstrasi jalanan dan tindakan mengaibkan pemimpin bukanlah jalan penyelesaian kepada sebarang masalah atau ketidakpuasan hati rakyat kepada negara.

"Kita adalah rakyat yang cintakan negara. Bila kita cintakan negara, kita tidak akan buat sesuatu yang ekstrem. Malah lebih rasional dan waras dalam semua tindakan," katanya.

Najib dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih kepada Parti Makkal Sakti yang terus menjadi rakan setia dan komited kepada BN.

"Saya selaku pengerusi BN mengucapkan terima kasih kepada parti yang membantu kerajaan BN dalam pilihan raya dahulu, khususnya dalam usaha meningkatkan sokongan dan undi daripada masyarakat India," katanya.

Sambil mengakui kerja keras Presiden Parti Makkal Sakti Datuk RS Thanenthiran dalam melakukan pelbagai program untuk pembangunan masyarakat India, beliau berkata kerajaan berjanji untuk terus memberi sokongan dan bantuan kepada usaha itu.

"Saya mengambil maklum usul-usul yang dibawa Makkal Sakti. Bukan senang nak memuaskan semua dalam BN dan 'friends of BN'. Kita akan bantu setakat mampu untuk menjayakan apa yang kita boleh," katanya.

Terdahulu, Thanenthiran membentangkan resolusi perhimpunan itu yang antara lain menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, mengesyorkan pelantikan pemimpin parti itu dalam kabinet, kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, memberi kelulusan pembinaan sekolah menengah Tamil dan permohonan dana sebanyak RM300 juta untuk merealisasikan pelan transformasi rakyat India. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment