POLIS TAHAN TIGA INDIVIDU DIPERCAYAI BERSEKONGKOL DENGAN SUSPEK PENGEBOMAN BANGKOK
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu kerana dipercayai bersekongkol dengan suspek utama kejadian pengeboman di Bangkok, bulan lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menurutnya, penahanan dua rakyat Malaysia dan seorang warga Pakistan itu dibuat minggu lalu.
"Ketiga-tiga mereka dikenal pasti menerusi perkongsian maklumat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand, dalam mengesan semua suspek yang dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, ketiga-tiga individu yang ditahan itu akan disiasat di negara ini, terlebih dahulu, sebelum mereka diserahkan kepada Polis Thailand untuk siasatan lanjut.
"Kita tidak akan menyerahkan suspek ini dalam masa terdekat sebelum PDRM menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti kesahihan maklumat suspek utama berada di negara ini.
"Dengan maklumat dan soal-siasat yang dijalankan akan membolehkan kita bertindak," katanya pada Mesyuarat ICC Biro Maritim Antarabangsa, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pengeboman 17 Ogos lalu di tengah kota Bangkok itu, 20 terbunuh, termasuk lima rakyat Malaysia dan lebih 100 lagi mengalami kecederaan. - ASTRO AWANI
Comments
Post a Comment