Followers

PEMBANGKANG TIDAK PERNAH BERITAHU FAKTA SEBENAR EKONOMI MALAYSIA : SALLEH


KUALA LUMPUR:  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak membidas pembangkang kerana mengkritik ekonomi Malaysia tanpa mengambil kira fakta dan angka sebenar.

Dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, beliau berkata pembangkang tidak pernah mendedahkan kebenaran mengenai ekonomi negara dan melemparkan kritikan tanpa menawarkan apa-apa idea mengenai bagaimana mereka boleh melakukan lebih baik jika mentadbir negara.

"Pembangkang menggambarkan senario bahawa Malaysia akan bankrap. Mereka juga menyatakan bahawa nilai Ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika dan Pound Sterling tanpa mengambil kira bahawa banyak negara lain juga mengalami kejatuhan nilai mata wang, sesetengahnya lebih teruk daripada Malaysia dan sesetengah pula mempunyai ekonomi yang lebih kukuh daripada Malaysia," katanya.

Beliau berkata bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata mereka mempunyai cara penyelesaian tetapi tidak akan mendedahkannya sehingga mereka memegang tampuk kuasa.

"Apa yang Anwar katakan ialah mereka akan merahsiakan penyelesaian ini sehingga mereka mengambil alih kerajaan. Adakah mereka benar-benar mempunyai penyelesaian atau ini hanya cakap-cakap," katanya.

Salleh berkata ekonomi Malaysia ialah yang ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand dan yang ke-35 terbesar di dunia.

"Malaysia juga merupakan negara ketiga terkaya di Asia Tenggara berdasarkan per kapita Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) selepas Singapura dan Brunei.

Ekonomi Malaysia ialah satu daripada yang paling berdaya saing di dunia, menduduki ranking ke-14 pada 2015," katanya.

Beliau berkata pada 2009, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih, KDNK kesamaan kuasa beli Malaysia hanya AS$383.6 bilion tetapi hari ini dua kali ganda.

Selain itu, pada 2009, per kapita KDNK Malaysia hanya AS$8,100. Hari ini ia tiga kali ganda daripada itu. Pendapatan isi rumah di Malaysia sekarang ialah RM5,900 sebulan, peningkatan 18 peratus berbanding 2012. Menurut laporan oleh HSBC, Malaysia akan muncul sebagai ekonomi ke-21 terbesar di dunia menjelang 2050 dengan KDNK sebanyak AS$1.2 trilion dan per kapita KDNK sebanyak AS$29,247.

"Mengapa pembangkang tidak mengambil kira semua ini dan menyatakan bahawa Malaysia menuju kehancuran sedangkan fakta dan angka tidak menunjukkan sedemikian?," katanya.

Salleh berkata Perdana Menteri juga telah menubuhkan Majlis Ekonomi bagi memastikan Malaysia berada di landasan dan akan terus mencapai kemajuan menjelang 2020.

"Ini adalah fakta-fakta yang tidak disebutkan oleh pembangkang," katanya.

Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah baharu untuk menyokong ekonomi.

KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus bagi separuh pertama tahun ini dan dijangka berkembang pada tahun depan.

Kerajaan juga mengaktifkan semula ValueCap dengan suntikan modal sebanyak RM20 bilion dan lebih banyak langkah akan dimaklumkan bulan depan semasa Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment