KEAMANAN DAN KESELAMATAN KEUTAMAAN KERAJAAN : NAJIB


KOTA KINABALU:  Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keamanan dan keselamatan negara merupakan keutamaan kerajaan pimpinannya.

Justeru, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan yang terbaik untuk memastikan keamanan dan keselamatan serta keharmonian antara kaum dipelihara.

"Kita pernah melihat tumpahan darah di jalanan dan juga kedai-kedai terbakar tetapi biar saya nyatakan di sini.

"Saya tidak akan membenarkan sama sekali perkara seperti ini berlaku di Malaysia," katanya pada ucap tama Seminar Integrasi Nasional di sini hari ini.

Seminar anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Najib berkata usaha berterusan Malaysia dalam menggalakkan perpaduan nasional telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Perdana Menteri berkata sebagai negara demokratik, Malaysia mengadakan pilihan raya secara konsisten sejak 1963 dan juga pengkritik negara turut bersetuju bahawa pilihan raya sentiasa dipertandingkan secara sengit.

Beliau berkata dalam pilihan raya, menteri juga tewas kerusi masing-masing dan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri kerana pilihan pengundi tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendengar suara rakyat.

Bagaimanapun, katanya, apa yang tidak betul apabila demokrasi digugat dengan penyebaran pembohongan dan kerajaan tidak boleh membincangkan atau debat apabila kebenaran itu dikaburi dengan tuduhan-tuduhan palsu.

Adalah tidak betul apabila ada pihak cuba mencetuskan kebencian terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat, katanya.

"Adalah tidak betul untuk menganjurkan perhimpunan yang dikuasai satu kaum dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan. Seperti yang kita dilihat, ini akan mendorong kepada perhimpunan oleh kaum lain.

"Ini adalah lebih berbahaya dan risiko untuk memusnahkan fabrik demokrasi, keharmonian dan peraduan yang dikecapi selama ini," katanya.

"Saya sedih untuk mengatakan parti pembangkang sedang bermain dengan api. Mereka bersuhabat dengan pemeras ugut dan warga asing yang ingin campur tangan dalam urusan negara ini seperti apa yang berlaku di zaman penjajahan.

"Mereka akan menyebarkan pembohongan dan khabar angin supaya mereka boleh mengatakan Malaysia berada dalam landasan yang berbahaya," katanya.

Najib menyifatkan pihak-pihak tertentu ini sebagai berbahaya dan mempunyai niat terdesak untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

"Mereka ini bersedia mengambil risiko untuk melihat ketidakstablian yang mendorong kepada revolusi ganas di banyak negara...beberapa negara dekat dengan Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Najib, yakin walaupun usaha-usaha pembangkang termasuk beberapa bekas pemimpin kanan negara untuk mecetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat namum keamanan keharmonian dan perpaduan akan tetap kekal di Malaysia.

Beliau berkata hanya menerusi usaha meningkatkan perpaduan nasional, mengurus perbezaan dan tidak menimbulkan kemarahan antara kaum serta mematuhi demokrasi berparlimen akan menjadikan Malaysia dikagumi di seluruh dunia.

"Saya berazam bahawa kami akan berbuat demikian. Kerajaan ini tidak akan berhenti berjuang untuk mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran Malaysia yang kita semua cintai," katanya. BERNAMA

Comments

Popular Posts