Followers

'TIDAK PERNAH TERLINTAS UNTUK LAKUKAN KESALAHAN ITU' : KHIR TOYO


KUALA LUMPUR:  "Saya ingin mengulangi sekali lagi bahawa saya bukan sengaja melakukan kesalahan itu dan tidak pernah terlintas di hati saya untuk berbuat demikian."

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata demikian ketika diberi peluang di Mahkamah Persekutuan semalam untuk membuat rayuan terhadap hukuman.

Beliau berkata beliau sebenarnya tiada niat untuk melakukan kesalahan itu dan memohon supaya mahkamah pertimbangkan rayuannya.

"Ini adalah kesalahan pertama saya. Saya seorang doktor gigi dan saya tidak tahu tentang undang-undang.

"Dalam mesyuarat exco saya declare (isytihar), pada tuanku saya declare dan pada perdana menteri juga saya declare saya tiada niat untuk melakukan kesalahan itu," katanya sambil menambah tidak pernah mencampuri atau menghalang kerja orang lain.

Dr Mohamad Khir juga merayu supaya mahkamah mempertimbangkan rayuan kerana anak-anaknya masih kecil dan beliau adalah contoh kepada mereka.

"Apabila melihat wajah ibu saya, saya menangis kerana saya rasa cukup bersalah kerana melukakan hatinya dan keluarga. Saban malam saya mengadu kepada Allah dan hanya Dia yang tahu apa kebenaran dan keadilan sebenar. Yang Arif, mohon rayuan saya dipertimbangkan," katanya dalam nada sebak.

Dr Mohamad Khir berkata beliau juga telah melalui kesengsaraan dan bebanan hidup sejak didakwa pada 2010 serta berasa malu apabila berdepan dengan masyarakat.

Beliau yang mempunyai lesen pergigian yang sah berkata pernah membuat rawatan pergigian secara percuma di Sabah ketika berada di sana dalam tempoh dua tahun dan masuk ke kampung untuk memberi rawatan percuma kepada penduduk di negeri itu.

"Saya masih praktis dan mempunyai lesen doktor pergigian yang sah sehingga sekarang dan masih merawat anggota keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Dr Mohamad Khir juga berkata beliau telah berjaya memajukan negeri Selangor sejak menjadi menteri besar di negeri itu dan membawa negeri Selangor ke peringkat antarabangsa.

"Saya juga telah meningkatkan pelaburan negeri Selangor daripada RM6 bilion pada tahun 2000 kepada RM13.8 bilion pada 2008 yang mana telah menyediakan peluang pekerjaan antara 30,000 ke 40,000 setahun dan saya terpaksa bekerja keras kerana Selangor merupakan tempat untuk mencari rezeki," katanya.

Beliau mendakwa bekerja selama 18 jam sehari selama lapan tahun untuk memajukan negeri Selangor ketika menjadi menteri besar.

Dr Mohamad Khir berkata beliau juga berjaya menyelesaikan masalah setinggan di negeri itu dan lebih 40,000 keluarga setinggan telah dipindahkan ke rumah yang lebih selesa selain berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada dua peratus kepada satu peratus.

"Hasil kutipan zakat juga meningkat daripada RM40 juta kepada RM250 juta yang mana wang kutipan zakat itu diagih-agihkan untuk selesaikan masalah warga miskin terutamanya orang Islam," jelasnya.

Dr Mohamad Khir berkata satu tabung khas juga disediakan bagi mereka yang bukan beragama Islam untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bekas menteri besar itu kerana menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan tanah dan sebuah banglo di Shah Alam lapan tahun lalu tetapi menangguhkan keputusan sehingga 29 Sept untuk menjatuhi hukuman.

Mahkamah itu juga berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan rampasan harta berkenaan adalah sejajar dengan undang-undang yang dimandatkan sebaik saja perayu disabitkan kesalahan. - BERNAMA

1 comment:

  1. Nampak kejujuran Dr khir. Mahkamah patut mempertimbangkan rayuannya kerana dia x de niat untuk melakukan kesalahan tersebut, di samping kurang arif tentang undang2. Lagipun ia bukan kesalahan jenayah.

    ReplyDelete