PEMIMPIN, PENTADBIR INSTITUSI PERLU ADA INTEGRITI DAN TAQWA : SULTAN NAZRIN SHAH


PUTRAJAYA:  Barisan pemimpin dan pentadbir yang telah dipilih oleh rakyat atas dasar percaya perlu menjadi pemegang amanah seterusnya menjalankan tugas dan fardu kifayah dengan berintegriti serta taqwa.


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah Almarhum Sultan Azlan Shah bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Universiti Islam Dunia di Putrajaya pada Selasa.

"Di sini, beta menegaskan kepada barisan pemimpin dan pentadbir kita yang dipilih oleh umum atas dasar percaya agar bertindak sebagai pemegang amanah dan menjalankan tugas umum serta fardu kifayah dengan integriti dan taqwa, bagi pihak kita semua dan demi kebaikan semua," titah baginda.

Titah tersebut merujuk kepada betapa perlunya usaha mengekal dan mengukuhkan institusi-institusi negara dengan memberi perhatian kepada aspek integriti dan kebebasan.

Tambah baginda, adalah sangat penting untuk menjaga amanah umum tersebut bukan sahaja ketika dalam situasi aman, malah ketika negara berdepan dengan tempoh krisis.

Baginda turut memberi contoh, selain Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Qarawiyyin di Maghribi,  institusi pendidikan dunia yang lain perlu mengutamakan kecemerlangan akademik supaya  mampu menghasilkan graduan berfikiran kritis dan mampu berhujah dengan bernas.

Dalam sidang kemuncak itu, baginda turut bertitah institusi pendidikan perlu mempunyai misi sosial untuk golongan yang terpinggir.

"Salah satu caranya adalah dengan menawarkan dermasiswa dan biasiswa kepada pelajar yang datang dari latar belakang yang kurang bernasib baik," titah Sultan Nazrin.

Hala tuju universiti

Bertemakan "Re-Writing The Narrative: Higher Education for the 21st Century", sidang kemuncak selama dua hari itu disertai lebih 200 pemimpin universiti negara-negara Islam sedunia.

Ia dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membincangkan isu-isu berkaitan sistem pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran global.

Antara visi sidang kemuncak itu adalah untuk menyeru pemimpin universiti Islam agar mengkaji semula hala tuju dan fungsi universiti masing-masing dengan mengambil konteks keperluan pendidikan umat Islam.

Terdapat tiga penekanan utama yang akan menjadi teras perbincangan sidang iaitu kepentingan akses dan ekuiti pendidikan, perkaitan budaya dan etika, serta kelestarian pendidikan bagi universiti Islam dan ummah seluruh dunia.

Semua itu perlu diberi perhatian supaya perkembangannya sejajar dengan konteks kehidupan semasa dan akan datang. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts