Followers

SEKOLAH SATU ALIRAN: PEMIMPIN SEMUA KAUM PERLU BINCANG BERSAMA - MAHDZIR


KUALA NERANG:  Pemimpin-pemimpin semua kaum negara ini perlu berbincang sama ada perlu atau tidak mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata isu sistem sekolah satu aliran itu dan kepentingannya terhadap perpaduan nasional perlu difikirkan secara bersama oleh semua kaum negara ini.

"Semua orang kena berfikir apa yang terbaik untuk perpaduan. Jika puncanya (perpaduan) adalah daripada pendidikan, maka kita kena ambil tindakan.

"(Semua kaum) kena duduk (berbincang), kena serius dan ada keberanian politik untuk menyatakan kehendak negara bagi 50 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban sempena Aidiladha di Kampung Mani di sini, hari ini.

Mahdzir mengulas pandangan beberapa pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang mahu sistem sekolah satu aliran diutamakan bagi memupuk perpaduan kaum negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO turut berpendapat sistem sekolah satu aliran mampu memperkasa perpaduan rakyat pelbagai kaum negara ini.

Mahdzir berkata selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1966, perdana menterinya ketika itu Lee Kuan Yew memutuskan untuk menutup semua sekolah aliran Cina, Tamil dan Melayu di republik itu.

"Apa yang ada, hanya sekolah satu aliran kebangsaan Singapura," katanya. Namun, beliau berkata buat masa ini Kementerian Pendidikan akan terus memperkasa program 'Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan' (RIMUP) bagi memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum di negara ini.

Menerusi RIMUP, murid-murid boleh mengenali satu sama lain walaupun budaya dan agama mereka berlainan serta memulakan proses asimilasi antara satu sama lain.

Selain itu, katanya kementerian juga sedang meneliti cadangan untuk membawa murid-murid berlainan bangsa dan agama keluar daripada sekolah dan meletakkan mereka di dalam program-program RIMUP. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment