GUNA FORUM LAIN SUARAKAN PANDANGAN BUKAN MENERUSI DEMONTRASI JALANAN : ZAHID


SERIAN:  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat supaya tidak lagi menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan pandangan sebaliknya berbuat demikian menerusi pelbagai forum lain.

Beliau berkata demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia dan ia tidak seharusnya diamalkan di negara ini.

"Sudah sudahlah, saya tidak mahu lagi ada demonstrasi Baju Kuning atau Baju Merah lagi selepas ini... banyak forum lain untuk pihak yang tidak puas hati meluahkan pandangan selain daripada keluar ke jalanan unuk mengadakan demonstrasi.

"Malaysia ialah sebuah negara demokratik dan kita ada pilihan raya untuk memilih kerajaan dan pemimpin, bukannya dengan cara berdemonstrasi di jalanan," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Terbat Teban, Tebakang dekat sini, Sabtu.

Sambil menegaskan beliau amat tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana pihak mengadakan demonstrasi jalanan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rakyat perlu menghormati mempunyai undang-undang negara ini.

Beliau berkata pemimpin negara datang dan pergi, tetapi rakyat perlu menghormati sistem demokrasi Malaysia dan pemimpin yang dipilih menerusi proses itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pemimpin yang dipilih perlu turun padang membantu rakyat dan bukannya hanya muncul apabila menjelang pilihan raya.

Menurutnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya serius dalam usahanya membangunkan rakyat terutama mereka di luar bandar.

"Saya berasal dari kampung dan saya amat memahami masalah dan keperluan penduduk di luar bandar terutama keperluan kesihatan dan pendidikan mereka," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah parti pembangkang yang disiarka dalam laman media sosial.

Menurutnya permainan politik pembangkang hanyalah untuk memecahbelahkan rakyat dan jika ia berlaku, rakyat perlu membayar 'harga' terlalu mahal untuk mengatasinya.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta rakyat supaya mengetepikan perbezaan kaum, budaya dan agama demi memelihara keamanan negara dan keharmonian kaum.

Kita harus bersama-sama menganggap tanah Malaysia ini sebagai negara kita bersama. Rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysa wajar bersatu hati walaupun berbeza kaum dan agama... kita harus ada semangat untuk bersama-sama membangunkan negara kita, kata timbalan perdana menteri.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk kawasan Parlimen Serian termasuk untuk kos membaik pulih balai raya Kampung Terbat Leban.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin. - BERNAMA

Comments

Popular Posts