MENTERI LAIN JANGAN CAMPUR TANGAN HAL WISMA PUTRA : ANIFAH


PUTRAJAYA:  Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyuarakan kekecewaannya susulan tindakan beberapa menteri kabinet yang mengambil tindakan tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.


Tanpa menamakan menteri terbabit, Anifah bagaimanapun merujuk kekecewaannya terhadap isu yang melibatkan arahan memanggil Duta Besar China Huang Huikang ke Wisma Putra.

"Saya berasa amat dukacita kerana beberapa menteri kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu."

Jelasnya, beliau tidak pernah membatalkan arahan untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau.

Bagaimanapun, tegasnya campur tangan menteri terbabit dalam hal ehwal Wisma Putra memberikan persepsi negatif.

Beliau juga yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.

Tindakan untuk memanggil Huang juga adalah amalan biasa kata Anifah.

"Ia bertujuan untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuatnya semasa beliau melawat Jalan Petaling tempoh hari." katanya

"Wisma Putra cuma ingin meminta beliau untuk mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya." jelasnya lagi.

Anifah juga menyatakan amalan untuk memanggil wakil negara asing adalah amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961.

Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan membatalkan arahan memanggil Huang ke Wisma Putra pada hari sama pertemuan itu sepatutnya berlangsung pada Isnin.
Huang dipanggil ke Wisma Putra bagi menjelaskan mengenai lawatannya ke Jalan Petaling serta kenyataannya baru-baru ini yang dianggap mencampuri hal ehwal dalaman negara.

Bagaimanapun, Huang mempertahankan lawatannya bersifat muhibah.

Arahan untuk memanggil Huang ke Wisma Putra dikeluarkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Naina Merican.

Anifah kini berada di luar negara. - ASTRO AWANI

Comments

Popular Posts