UPP AKAN DINAIK TARAF JADI AGENSI KESELAMATAN SEMPADAN : ZAHID
SINTOK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) akan dinaik taraf menjadi Agensi Keselamatan Sempadan.
Menurutnya, entiti baharu melibatkan tiga agensi teras iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia itu juga turut akan melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain sebagai nilai tambah.
"Kertas dasar mengenai cadangan itu telahpun disediakan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) menegaskan, melalui penaiktarafan tersebut, tidak akan ada peruntukan dan perjawatan baharu diwujudkan, sebaliknya beliau berjanji akan memberikan imbuhan kepada kakitangan dan pegawai UPP sekiranya mereka mempamerkan prestasi kerja cemerlang.
"Yakinlah apabila rampasan barang dan penyeludupan dan pemerdagangan manusia dapat dikurangkan, adalah sesuatu imbuhan yang akan saya berikan sebagai insentif, ini janji saya.
"Ubah pendekatan, jangan minta dulu, kita beri dulu.. Tak payah nak tunggu imbuhan, baru nak motivasi diri.. KDN dan agensi serta yang lain, kita buktikan kepada Perdana Menteri, kita tak minta sebelum beri. Kita laksanakan, dan kerajaan akan bagi timbal balas," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, negara kerugian sehingga RM7 bilion setahun akibat masalah sempadan negara yang dibolosi, termasuklah kerugian barang bersubsidi.
Kata Ahmad Zahid jumlah rampasan barangan UPP, turut menunjukkan peningkatan di mana pada 2013, jumlah rampasan bernilai RM17 juta, diikuti pada 2014 bernilai RM18 juta, meningkat kepada RM38 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2015, peningkatan 100 peratus dari tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara agensi penguatkuasaan harus diperkukuh termasuk dengan menterjemahkan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) agar "tidak berfikir dalam kepompong kecil" dan seperti "katak di bawah tempurung".
Dalam majlis itu, Universiti Utara Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan KDN dalam bidang penyelidikan saintifik dan empirical tentang isu-isu keselamatan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment