POLIS SIASAT ARTIKEL BERBAUR HASUTAN DI MEDIA SOSIAL


KUALA LUMPUR:  Polis akan menyiasat sebuah artikel berbaur perkauman dan hasutan yang menyeru orang ramai menyertai Himpunan Rakyat Bersatu di ibu negara pada 16 Sept ini.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana cubaan menghasut. Setakat ini, polis belum menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan, dan polis menganggap perhimpunan ini melanggar undang-undang," katanya di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, Zainol meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh untuk menyertai perhimpunan itu, seperti yang disiarkan dalam media sosial tersebut.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang terlibat dalam penyebaran maklumat itu," katanya.

Maklumat mengenai perhimpunan itu telah menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp dan laman blog tempatan. - BERNAMA

Comments

Popular Posts