Followers

KOMUNITY ASEAN BOLEH KUKUHKAN KERJASAMA SELATAN-SELATAN : NAJIB


NEW YORK:  Malaysia akan terus berkongsi pengalamannya bagi membantu memperkukuhkan kerjasama Selatan-Selatan untuk muncul sebagai kuasa yang berpengaruh bagi negara-negara membangun, kata Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Perdana Menteri berkata beliau yakin bahawa ASEAN yang akan menjadi sebuah Komuniti menjelang hujung tahun ini, kedua-dua Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain akan dapat menyumbang lebih banyak kepada kerjasama Selatan-Selatan.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN 2015.

"Malaysia terus bersedia untuk berkongsi pengalaman pembangunan kami, walaupun kami sendiri berada di landasan untuk mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2020," katanya pada Sesi Meja Bulat Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Selatan-Selatan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Sesi yang dihadiri oleh para pemimpin dari 20 negara itu dipengerusikan oleh Presiden China, Xi Jinping. Turut hadir setiausaha agung PBB Ban Ki-Moon.

Najib berkata sejak tahun 1980, Malaysia telah membantu negara-negara kurang membangun dalam bidang seperti perancangan ekonomi, kewangan dan perdagangan, pertanian, pendidikan, latihan teknikal industri dan diplomasi.

Sehingga kini, beliau menambah Kuala Lumpur telah memperuntukkan sebanyak $200 juta (kira-kira RM840 million) kepada Program Kerjasama Teknikal Malaysia, yang memberi manfaat kepada 29,000 peserta dari 141 negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa negara Selatan-Selatan perlu kekal bersatu dengan suara yang sama bagi menjadi kuasa berpengaruh di semua forum pelbagai hala, menyediakan diagnosis yang mendalam dan lebih tepat mengenai isu yang dihadapi oleh negara-negara membangun.

Memetik kata-kata terkenal China, "Apabila orang bekerja dengan satu minda, mereka boleh menggerakkan Gunung Tai", Najib berkata kerjasama Selatan-Selatan boleh membantu mengukuhkan penekanan dalam membina ketahanan rakyat miskin dan mudah terjejas, khususnya negara-negara kurang membangun, daratan dan pulau kecil.

"Mereka terutamanya memerlukan bantuan dalam mengurangkan pendedahan kepada perkara berkaitan iklim, semula jadi dan kejutan ekonomi," katanya.

Menyentuh mengenai Agenda 2030 PBB mengenai Matlamat Pembangunan Mapan, Najib berkata: "Apa yang dunia akan jadi nanti, kita tidak tahu dengan pasti. Apa yang kita tahu, bagaimanapun, ialah selatan global akan terus meningkat, dan banyak cabaran dasar akan merentas sempadan, malahan merentas benua, alam semula jadi".

Sesi meja bulat peringkat tinggi, antara lain, akan menyediakan platform untuk negara-negara Selatan menggesa negara maju untuk memenuhi komitmen mereka dan menggalakkan sistem PBB memberi sokongan kepada kerjasama Selatan-Selatan.

Najib kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke New York bagi menyertai lebih daripada 170 pemimpin dunia pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment