13 OKT PENDENGARAN PERMOHONAN KDN TANGGUH KEPUTUSAN MAHKAMAH
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Okt untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangguhkan keputusan mahkamah yang membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri berhubung penggantungan dua akhbar milik The Edge Communications Sdn Bhd.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Darryl Goon mewakili The Edge Communications Sdn Bhd dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri.
Suzana ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon penangguhan, sementara menunggu rayuan yang difailkan pada 22 Sept lepas berhubung keputusan mahkamah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Katanya penangguhan itu termasuk penaksiran ganti rugi dan kos.
"Jika penangguhan itu tidak dibenarkan, rayuan itu akan menjadi sia-sia. Itu adalah satu keadaan khas yang mewajarkan penangguhan," kata Suzana.
Pada 21 Sept lepas, Hakim Asmabi membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menggantung selama tiga bulan penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
Asmabi turut memerintahkan supaya ganti rugi dialami dua penerbitan itu dinilai dan menetapkan kos perundangan berjumlah RM15,000.
Penerbitan The Edge dan The Edge Financial Daily digantung kerana menyiarkan laporan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikatakan mengandungi penerbitan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan menggugat keselamatan serta kepentingan negara. - BERNAMA
Comments
Post a Comment