Followers

90 PERATUS GURU ANAK JATI SABAH, SARAWAK DALAM 3 TAHUN : MAHDZIR


KOTA KINABALU:  Kementerian Pendidikan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletakkan 90 peratus guru di Sabah dan Sarawak daripada kalangan anak tempatan.


Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya sudah mendapatkan jumlah guru-guru di Sabah dan Sarawak tetapi tumpuan pelaksanaan ketika ini ialah mencari maklumat mengenai graduan anak Sabah dalam bidang pendidikan serta belum mendapat tempat sehingga kini.

"Di peringkat Kementerian Pendidikan, kita telah menyiapkan kita punya kerja, jentera untuk memastikan apa yang Perdana Menteri sebut semalam itu menjadi kenyataan.

"Dalam tempoh 3 tahun iaitu sebanyak 90 peratus guru sekolah rendah dan menengah di negeri Sabah dan Sarawak adalah anak tempatan," katanya semasa sidang media selepas majlis perjumpaan bersama pengetua dan guru besar serta warga pendidik negeri Sabah di Wisma MUIS, pada Khamis.

Tambahnya, tumpuan di Sabah kini adalah untuk mendapatkan graduan anak tempatan dalam bidang pendidikan yang masih tidak mendapat peluang untuk bekerja sebagai guru.

Pada Rabu, Perdana Menteri ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia 2015 di sini berkata 90 peratus guru di Sabah dan Sarawak harus terdiri daripada anak negeri.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir turut meluluskan pembinaan pagar di sekolah yang terletak di kawasan Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE bagi mencapai piawaian keselamatan.

Keutamaan diberikan kepada sekolah yang mengalami kerosakan pagar dan yang tidak mempunyai pagar. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment