Followers

TINDAKAN KHAIRUDDIN SABOTAJ NEGARA : KHALID


KUALA LUMPUR:  Polis menyifatkan tindakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara.


Ketua Polis Negara Tan Sri Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairuddin seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Namun, beliau tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas Malaysia.

"Ini jelas merupakan satu tindakan yang bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia, mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara," katanya dalam satu kenyataan lewat malam Ahad.

Khairuddin direman enam hari bagi membantu siasatan di bawah Akta 124C Kanun Keseksaan atas cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Dia ditahan lewat petang Jumaat di kediamannya di Mont Kiara.

Polis turut merampas beberapa barang peribadi milik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telefon bimbit dari kediaman mereka.

Sebelum itu, Khairuddin dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya, memaklumkan pihak PDRM telah meminta beliau hadir ke Bukit Aman pada Isnin depan untuk diambil keterangan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung skandal membabitkan syarikat sarat hutang, 1MDB.

Tambah Khalid, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci atas dakwaan maklumat yang disalurkan Khairuddin kepada agensi asing terbabit adalah palsu. - ASTRO AWANI

No comments:

Post a Comment