Followers

MALAYSIA AKAN HANTAR 380 PEGAWAI POLIS UNTUK MISI PASUKAN PENGAMAN PBB : NAJIB


NEW YORK:  Malaysia telah berjanji untuk menghantar 380 pegawai dan anggota polis untuk misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).


Bercakap pada Sidang Kemuncak Pengaman PBB di sini Isnin (Selasa di Malaysia), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan itu akan menjadi sebahagian daripada Polis PBB.

Beliau berkata kumpulan tempur infantri, bersama-sama dengan unit kejuruteraan akan juga dihantar dengan segera membantu misi pengaman.

Najib berkata Pusat Pengaman Malaysia bertempat di Port Dickson setakat ini melatih lebih 2,500 peserta tempatan dan antarabangsa dari 52 negara.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi hos bersama sidang kemuncak pengaman bagi mendapatkan sokongan dan komitmen daripada pemimpin-pemimpin dunia ke arah operasi pengaman PBB yang lebih berkesan.

Antara tokoh-tokoh penting yang hadir pada sidang kemuncak itu ialah pemimpin dari China, Kesatuan Eropah, Itali, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan United Kingdom.

Najib berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan Tentera ASEAN Yang Bersiap Sedia mengenai Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana untuk dihantar dengan segera ke kawasan-kawasan krisis di rantau ini.

"Kami percaya tentera ASEAN boleh memainkan peranan yang penting sebagai responder pertama kepada cabaran di rantau ini menerusi pelaksanaan berkesan Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan," katanya.

Najib berkata sejak 1960, Malaysia telah menyertaii 5 misi pengaman PBB melibatkan lebih 29,000 anggota tentera dan polis.

Beliau berkata pada masa ini, pasukan pengaman Malaysia mengambil bahagian di Sahara Barat, Congo, Lebanon, Liberia, Abyei dan Darfur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment